Zati D'hati Fancylicious Cakes

By: amaruszati noor rahim

[Recommend this Fotopage] | [Share this Fotopage]
View complete fotopage

Monday, 22-Sep-2008 01:44 Email | Share | Bookmark
MANUSIA ATAU HIDUP YANG ANEH?

MESKIPUN riuh sana sini bercakap tentang harga segala barang naik, namun keinginan membeli masih menguasai. Itu yang dapat aku simpulkan. Duduk di dalam kereta di kawasan parking, aku memerhati gelagat manusia. Berseronggah `mencebet' beg berisi cadar, langsir, alat perhiasan, perabot pasang siap. Itu belum termasuk pakaian untuk membesarkan hati anak-anak yang berpuasa dan ingin menyambut raya (bab ini rasanya boleh tidak dipertikaikan).
Hari raya seolah-olah wajib bagi mereka yang suka berbelanja untuk menggantikan segala. Ada yang mengecat rumah, menukar warna kereta, malah yang mampu akan tukar kereta. Aku yang semenjak kecil diajar mak bonda agar bersederhana berhari raya memandang hal ini sebagai suatu perkara yang lucu. Keanehan yang melucukan. Tetapi iyalah, duit masing-masing, tidak ada siapa yang berhak mencatu dan menyekat kuasa membeli. Itu satu hal.

Satu hal lain, ada yang mengejutkan anak-anak bersahur macam nak rak. Ditetapkan disiplin, kalau anak-anak curi berbuka, maka tak boleh makan sampai jam 10 malam. Sewaktu kecil pun ayah dan mak pun menetapkan begitu - kalau tidak puasa, tidak boleh berbuka bersama...nak makan, kena tunggu semua orang selesai berbuka. Ini bukanlah keanehan kerana budaya mendidik berpuasa ini diamalkan turun temurun. YAng anehnya apabila anak dikerah berbangun sahun, diwajibkan berpuasa penuh, sedangkan mak bapak senang-senang cedok nasi masuk pinggan dan makan beradab... di depan anak-anak pula tu. Ada yang hisap rokok berkepul2 depan anak2. Alasan - hisap rokok tak batal puasa. Anak pula menyanggah, "Ustazah kata hisap rokok batal puasa, ayah!" Urgh! Mana diletak muka?

Ada yang solat 5 waktu tidak sempurna, tetapi malam-malam pergi solat tarawikh. Tiang utama dibiarkan buruk tetapi ditokok masuk tiang halus. Yang sunat itu ibarat menutup koyak yang sedikit tetapi kalau koyaknya melebar, tak memadai ditutup dengan perca-perca kecil. Ada juga yang menghukum anak jika tidak larat ke kelas fardhu ain, tidak solat, tidak pergi kelas mengaji tetapi dalam masa yang sama dia juga tidak solat tidak mengaji. Solat hanya kenal pada pagi aidilfitri. Memanglah tanggungjawab ibubapa mendidik anak2 tetapi didikan utama melalui contoh dan teladan.

Aku bukan ustazah dan bukan sebaik umat. Tetapi lintasan menulis ini terdetik tahun ke tahun. Alangkah anehnya. Manusia atau hidup yang aneh? Manusialah yang aneh kerana pelbagai ragam, pendapat, aksi, tindak, fikiran, emosi dll.

Banyak kekhilafan yang diri ini lakukan. Tulisan ini mengingatkan diri sendiri agar tetap di landasan Tuhan meskipun diri tak henti diuji. Pada yang membaca tulisan ini, tulisan ini hanya peringatan untuk kita semua. Allah tidak lalai dan tidak lupa tetapi kitalah yang mudah lali dan lupa. Hidup pesan berpesan.

Kata anakku Amsyar dalam salah satu smsnya - umi, kalau nak tidur, minumlah air dengan baca al fatihah, tiga qul dan ayat kursi, niat moga Allah kuatkan iman kita. Umi jangan lupa Allah. Allah tidak lupa hambaNya tetapi hambaNya selalu lupakan Allah.

Foto entry kali ini bukanlah foto langsir dan cadar baru kerana aku tidak perlu menukar semua benda selain membelikan dua pasang baju untuk setiap anak. Tetapi hanyalah foto cupcake ketika kesihatan tidak menentu. Lepaan kurang rata. Seadanya...





View complete fotopage


© Pidgin Technologies Ltd. 2016

ns4008464.ip-198-27-69.net