Zati D'hati Fancylicious Cakes

By: amaruszati noor rahim

[Recommend this Fotopage] | [Share this Fotopage]
View complete fotopage

Tuesday, 29-Jul-2008 21:40 Email | Share | Bookmark
BIG BOSS, BIBIK SUTINAH, PUAN AIMA & INFO KELAS AKAN DATANG

Sesiapa yang datang kepadaku, mereka adalah orang yang ingin tahu (pelajar) dan sahabat. Lantaran mereka pelajar, mereka melaburkan wang dan aku tahu bagaimana sukarnya untuk mendapatkan wang di zaman segala mak nenek naik harga. Mereka kuberikan seluruh yang kutahu tentang pakej yang mereka ambil. Mereka menjadi sahabatku - perlu bersikap terbuka menerima teguran dan aku perlu berani menegur.
Tulisanku di dalam fp ini sering ditegur sesetengah orang - panjang sangat akak tulis. Bila orang membuat teguran begini, aku tahu orang itu tak suka membaca. Ada pula yang tegur - kak, kenapa semakin lama semakin pendek entry fp akak? Nah! Orang ini orang yang mengikuti tulisanku. Tak kurang juga yang kata akak ni garang ke, tulisan akak macam 'cengih' je. Ada yang buat ramalan, akak ni kasar agaknya sebab tulisan akak kasar. Nyatakanlah apa pun, aku tak kisah. Padaku apa yang kunyatakan di fp ini, adalah penegasan tentang diriku. Aku perlu menegaskan diriku kerana jika aku tidak menegaskan diriku sendiri...aku akan diperlekehkan bukan saja oleh orang lain tetapi juga oleh diri sendiri. Kalau hendak dikatakan bahasaku kasar pun, aku tidak ambil hirau kerana itu tanggapan sesetengah orang. Kasar padaku ialah bila ada maki hamun, tengking herdik, carut marut. Dan itu semua belum kugunakan di dalam fp ini. Begitulah...di dalam kelas Zati D'hati, aku tegas meskipun ada gurau dan tawa.Aku tahu student datang dengan pelaburan, dan aku pernah berada di tempat itu. Untuk ketika ini juga, kadang-kadang aku menjadi student juga. Apabila aku membuat pelaburan, tentu saja aku mahukan timbal balik yang berbaloi. Itu jawabnya kenapa penegasan itu penting. Apa yang ditegaskan di dalam kelasku:
1. Ajar buat kertas piping. Mesti tahu kerana konsistensei menggunakan kertas piping lebih berbaloi dari menggunakan piping plastik.
2. mesti bancuh buttercream sendiri supaya bila buat sendiri di rumah, student dapat mengenal pasti konsistensi yang diperlukan.
3. latihan di atas board. setelah menjadi di atas board, baru pindah buat pada kek. ini penting kerana aku akan meminta membuat pembetulan mana yang tersilap. ada yang kata, "akak buat separuh, nanti saya sambung, macam dekat kelas si polan sipolan, boleh tak?" Tidak boleh di kelas zati dhati. Aku mahu student pulang dengan kebanggaan membawa kek yang dihias oleh tangannya sendiri.
4. Pembetulan. Bagiku, belajar bukan untuk sekadar tahu skill. mesti tahu apa yang betul dan apa yang salah. Yang betul, perlu dikekalkan konsistensinya. Yang tak betul, sila buat pembetulan.
5. Cara pegang noozle yang betul kerana cara yang salah kan menyebabkan tahap tekanan untuk menghasilkan sesuatu bentuk akan tidak konsisten.
6. Pusat perhatian sepenuhnya pada kelas. Jangan tubuh di kelas, hati dan minda di lain. Hasil yang dapat tidak akan memuakan hati.
7. Deco adalah kerja seni. Roh dan jiwa anda mesti bersama setiap gerak dan nafas.
8. Sentiasa semangat, tidak mudah putus asa, inginkan yang terbaik, hargai apa yang anda laburkan.
9. Mesti sentiasa praktis. Mesrakan gerak tangan. Jangan pulang nanti, semua perkakas terperuk di dalam kabinet atau bawah katil!
10. Proses belajar denganku tidak akan berhenti sehabis kelas. Ada masalah, telefonlah atau emel. Janganlah main sms je... letih aku nak main punat hand set terutama ketika sedang dalam projek menulis atau mendeko. Tulis segala masalah dalam emel, senang akak menjawabnya. Segan bertanya, anda akan kekaburan. Aku akan menjawab apa yang kutahu. Jika tidak mampu jawab, akak tak akan segan-segan mengaku, dik.
11. jangan bawa pengiring atau anak-anak ke kelas. Ini akan mengganggu kosentrasi pelajar lain. Cikgu pun terganggu juga.

Entry kali ini - aima , tuan punya http://rizaima.fotopages.com menempah kelas awal sebulan kerana ingin menguruskan cuti kerja. Aima mengambil pakej 1, 2 & 3. Dia dihantar suaminya. Inilah yang dikatakan selain kekuatan diri itu penting, sokongan luar tetap memainkan peranan. Suami tahu apa sumbangan yang boleh dilakukan untuk memenuhi jiwa isteri. Kalau tidak percaya pada isteri memandu sendiri hatta dari Kuantan ke Pekan sekalipun, atau tidak benarkan isteri naik bas, suami buatlah pilihan menghantar hingga sampai ke bengkel. Suaminya pulang semula ke KL setelah duduk tak sampai sepuluh minit di bengkel, perlu pulang semula kerana ada kelas.

Aku mencadangkan Aima belajar piping di atas board setelah selesai membakar 4 kek dengan 4 method tetapi Aima memilih untuk melakukannya esok bersama dua pelajar lagi.Aku ingin dia manfaatkan masa yang ada tetapi mengenangkan dia bertolak jam 4 pagi dari KL, tentu dia keletihan. Namun Aima tidak memilih untuk tidur. Katanya, "aima nak korek habis-habis dari Kak Zati ni." adat belajar, tentulah hendak banyak bertanya. jadi cikgu, mestilah sedia menjawab apa soalan yang ditanya. Kalau tidak tahu, jawab saja tidak tahu, tidak perlu berdolak dalih hingga perlu memilih student yang mana sesuai untuk kelas kita. Padaku, hidup mesti jujur, tak perlu main sorong tarik tali, atau berdolak dalih. Jadi mana yang aku tahu, aku jawab... mana yang tak tahu aku jawab terusterang, "akak tak tahu."

Jam 7 pagi, sampailah dua pelajar dari Pulau Pinang. Siti Hajar dan Siti Zubaidah.

"Tengok muka, memang tahu adik beradik," ulasku sambil membuka pintu kereta.

"Ye ke? Tapi saya lebih cantik dari diakan?" usik Siti Hajar.

Aku tertawa kecil. Dari kalimat-kalimat pertama, aku tahu kelas yang akan berlangsung tidak akan sunyi. Elok juga - aku tidak gemar larut dalam sunyi yang panjang. Sunyi atau riuh biarlah kena dengan situasi dan kosentrasi.

Bawa pusing kawasan istana, padang polo, bandar Diraja Pekan dulu sebelum membawa mereka ke bengkel untuk mandi manda dan bersiap untuk menghadapi kelas.

Apa yang lucunya -topik yang hangat dalam kelas kali ini adalah 'bibik'. Bermula hanya dengan mengusik Aima yang sudah merancang hendak menambah kerja bibiknya nya dengan membuat kertas piping, Siti (si kakak) mula memanggil adiknya dengan nama Sutinah. Ada saja arahan berbau usikan terhadap Sutinah. Akhirnya panggilan Sutinah itu lekat juga di bibirku dan Aima. Rupa-rupanya usik mengusik Big Boss dan Sutinah ini memang telah lama bermula, di rumah lagi.
Kata Siti, "Kalau kami bisnes kek, rasanya saya kena siapkan kek, siapkan aising, dia (Sutinah) tahu benda-benda ni dah siap je, dia hanya nak deko."
"Ooo, macam tu rupanya ya... nak semua benda sampai ke lutut," usikku.
Sutinah ketawa. "tengok, tengok! Kalau macam tu siapa sebenarnya boss. Sayalahkan?"
Siti dan Sutinah pernah ikuti kursus fondant, butteraising, pastri dan entah apa-apa lagi. Bukan berguru dengan satu cikgu tapi dah ramai cikgu. Berguru dengan Grace, dengan Culinary Centre di Penang, macam-macam...tak sempat nak masuk nama-nama cikgu dalam otak ni. Tapi katanya, habis berguru, perkakas yang dibeli tak berusik pun.

Aku sempat mengusik, "seminggu balik dari sini, kau mesti email kat akak gambar latihan kerja kau, kalau tak sifu akan murka. Jangan pula kau ambik gambar kek di kedai-kedai hantar kat akak. Lagi besar murka akak."

Gaduh-gaduh kecil dua beradik ini mengisi sunyi. Kelas sepatutnya habis malam tetapi ketiga-tiga ini perlu balik awal. Siti dan Sutinah tidak dapat cuti. Aima pula nak rehat sehari sebelum kembali masuk kerja. Rancangan yang begitu membuatkan kelas mesti berakhir jam 6. Siti dan Sutinah naik bas ke Penang jam 9 malam dari Kuantan. Lapan biji kek dibawa pulang. Siti tidak membawa pulang little princess yang digubahnya sebaliknya menghadiahkannya kepada Aima. Bukan main suka Aima. Aku gantikan dengan Little Princess saiz mini walaupun Siti menolak. Kalau boleh dua beradik ini hendak berlenggang pulang tanpa kek. Tetapi aku mendesaknya membawa pulang kerana kek-kek itu nanti melambangkan pelaburan waktu dan tenaga, lambang kebanggaan. Terlanjur mereka semua pulang, aku terus mencapai beg pakaian - baju, seluar, kain sembahyang, tuala mandi, segala keperluan telah hubby letakkan dalam beg. Sebaik sahaja menghantar Siti dan Sutinah ke Terminal Makmur, Kuantan, kami terus ke KL. Sempat lagi pada saat akhir memberitahu Chef Farid, ingin ikuti kelas coklat buatan tangan. Terima kasih kepada hubby. Selain ke hulur ke hilir membantuku melengkapkan persediaan bahan kelas dan lain-lain, dia masih sedia memandu ke KL. Berhenti tidur sebentar di RR Temerloh. Terimakasih, b... sentiasa tahu untuk memenuhi jiwaku.

Pagi-pagi esoknya, Siti sms beritahu dah sampai Penang. Sms Siti - dasyatlah buttercream akak, elok je, memang mantap.Kami memang puas hati dengan kelas kak zati. Keluarga semua pun kata cantik deco tu. Memang berbaloi pergi jauh-jauh belajar.
Alhamdulillah, Siti, Sutinah... tapi jangan lupa praktis ya. Berguru dengan seramai mana pun guru, praktik tak boleh diabaikan untuk meningkatkan kreativiti. Pengalaman sendiri akan memberi kita banyak ilmu yang berguna.
Rizaima berkobar-kobar hendak membeli noozle, hendak membeli kek kecil di giant, konon balik hendak dideko. Dah buat ke semua tu, Aima? Janganlah semangat berguguran sepanjang jalan ikut putaran roda kenderaanmu.... huhuhu....

Yuk, kita jamu mata dengan hasil Big Boss, Bibik Sutinah dan Puan Aima....





















Aima sangat teruja memilih little princess untuk cartoon artwork. Sutinah mulanya rasa senang hati dapat ambik elmo... tak banyak kerja kononnya tetapi kemudiannya jadi geram melihat Aima dan Siti membuat kerja yang mencabar. Princess Aima ni ada kes sabotaj... hampir-hampir tak jadi mata dan bibirnya. Kesian Aima, kena sabotaj....







di bawah ini pula hasil kerja sutinah...















Usai kelas, sempatlah bergambar. Badge kali ini boleh bergambar bersamaku kerana aku telah siap mandi, siap segala untuk ke KL. Kalau tak, jangan haraplah... hehhehe. Gambar Aima sedang mendeko tidak teringat untuk dirakam.... jadi, tengok Aima dalam barisan inilah ya...




Di bawah ini pula promo kelas akan datang.... sudi-sudikan meluangkan masa menambah kemahiran...
Untuk pengetahuan yang berminat, kelas ogos masih diteruskan tetapi sepanjang Ramadhan, kelas akan rehat sebulan.











View complete fotopage


© Pidgin Technologies Ltd. 2016

ns4008464.ip-198-27-69.net