Zati D'hati Fancylicious Cakes

By: amaruszati noor rahim

[Recommend this Fotopage] | [Share this Fotopage]
View complete fotopage

Saturday, 15-Mar-2008 01:11 Email | Share | Bookmark
KERJA TETAP KERJA

Untuk pertanyaan tentang kelas, email ke amaruszatinr@yahoo.com atau zatidhati2u@yahoo.com.my****************************************************************************************************************

Sana sini orang masih geger dengan senario politik tanahair dalam kerajaan campuran. Kecohnya itu menggamit aku menonton tv mendengar berita setiap malam. Meskipun risau bergalau, namun itu tidak menggugat peratus semangat untuk bekerja. barangkali juga semangat bekerja makin menjadi. Dalam diam mulut, tulang sendi urat geramat perlu terus dipulas digemas untuk membangunkan ekonomi keluarga sekaligus membangun ekonomi ummah. Setakat hanya bercakap tentang apa akan jadi pada ekonomi melayu dan Islam dalam senario kerajaan campuran sedangkan tubuh terperap di kedai kopi, marah-marah menepuk meja mencebik dan menggeleng, ekonomi diri sendiri tidak akan melonjak. Kitalah yang mesti lebih positif menggerakkan atau membantu mengutuhkan ekonomi keluarga. Ada yang bertanya, "kau undi apa?" Aku ketawa, "undi adalah rahsia." Yang penting bagiku bukanlah geger tetapi usaha yang tak pernah pudar, semangat yang tak pernah luntur, yakin pada masa depan yang cerah, doa menangkal keburukan memohon kebaikan, kehendak dan keinginan yang tak berbelah bahagi. begitulah, dalam berharap keamanan tetap wujud tanpa sentimen perkauman, aku terus bekerja untuk kepuasan dan peningkatan ekonomi keluarga.

cuti sekolah ini, rumah kembali riuh. Qayyum, Amsyar dan Alim membawa pulang cerita masing-masing. Qayyum pulang dua malam dengan cerita kelas Bahasa Inggeris di UIA, futsal larut malam dan kerjanya di dapur Izzi Great Italian & Asean Crusine. Amsyar dengan cerita 'roti batu' pada percubaan pertamanya membuat roti dalam kelas bakery. Alim dengan cerita hantu asrama yang buat kami tak kering gusi. Meskipun anak-anak pulang, kerja di bakery kecil perlu diteruskan.

Di bawah ini adalah order dari Encik Amiran, pegawai Jabatan Pendidikan Negeri Pahang untuk anaknya, Firdaus. Beliau membuat salinan foto kek di dalam salah satu entryku. Malang kali ini, biskut belanda yang panjang tidak ada. Kontot-kontot saja. Crispy wafer nipis juga tidak ada, terpaksa kuganti dengan kepingan white chocolate. Hari hujan, kotak kek mesti ditutup menyebabkan biskut belanda tidak dapat disusun tinggi. Maaf berbanyak, cikgu.


(Komen daripada Encik Amiran - sedap, boleh buka kedai di Pekan)

Farid, pengarah Lembaga Muzium Negeri Pahang membuat order carrot cake lagi. Seperti tahu-tahu cream cheese ada dalam simpananku, dia mahukan sesegera mungkin. Seleraku pulka sukakan carrot cake yang disimpan semalaman di dalam chiller. Inilah carrot cake untuk farid.



Tiga hari selepas itu, farid membuat tempahan chocolate banana untuk meraikan harijadi staffnya. Chocolate banana ini dilapisi dengan mousse pisang. Permukaannya kususun penuh hirisan pisang. Tepi dan diatasnya juga kusalut dengan chocolate parut dan sedikit lelehan coklat glis.
Komen Farid lewat smsnya, "sedappppp....Pisang telah menjadikan coklat itu lebih 'menawan'...



Azira, pelanggan baru dari Centre Point Kuantan. Aku menghantar carrot cake dengan frosting choc ganache digabung dengan creamcheese untuk suami kesayangannya, bersama Azzahra dan Taqiuddin. Tidak dapat bertemu Azira, tauke printing. Hanya mendengar suaranya untuk mendapatkan pelan ke kedainya. Selepas menghantar tempahan Azira, aku membawa anakandaku berdua ke food court di Kuantan Parade. Order tiga szziling mi hot plate. Azzahra mengomel mi tidak sedap, kuah tak sempat mendidik, mi sejuk siap. Kata Azzahra, itulah umi, ada hot plate simpan je...kalau umi buat lagi sedap. Sejak tiga anak bujang tiada di rumah, hot plate hanya kusimpan kemas dalam almari dapur. Petang itu saksi satu pembaziran. Mi luak tak sampai suku pinggan. Kami mahu bergerak ke Kem PLKN Muadzam Shah, memenuhi undangan kem untuk Malam Citra Puisi, di samping menjemput hubby habis tugasan di kem itu. Sebagai langkah persediaan, aku beli burger dan ayam KFC, bimbang anak-anak kelaparan. Sambil 'menikmati' mi yang tak meransang nafsu itu, sempat le berborak dengan mamazieza.
Azira sms tentang harga yang berbaloi dan kelainan yang dapat menggembirakan hubbynya.



Hari mengundi. Undi tetap undi. Kerja tetap kerja. Awal pagi, aku menyudahkan kek opera tempahan Sharifah. Bual-bual singkat di telefon, rupa-rupanya Sharifah ini berkahwin dengan puak gerabakku juga, hampir dengan rumahku. Bertuahnya rakyat Malaysia...masing-masing sibuk mencari rezeki, sampai tak kenal saudara sendiri. Nasib baiklah Sharifah bertanya, kalau tak...sampai sudah tak kutahu.
Ada juga tempahan kek Opera daripada Hazrin, bertugas di Lumut tetapi pulang ke Kuantan sempena mengundi. Tuga opera untuk Hazrin jadi lebih ringan kerana tidak perlu hantar ke Kuantan. Dia datang ambil kek di Pekan.
Siap kek opera, terus pergi ke rumah Kerabat Diraja Pahang, rumah Tengku Ibrahim. Anaknya Tengku Bakyah membuat tempahan kek fondant dan wedding cake untuk puterinya, Fadia. Pergi hanya untuk menunjukkan beberapa warna doh fondant untuk tema pilihannya. Selesai tugasan itu barulah pergi mengundi.
Ini dia kek opera untuk Sharifah dan Hazrin. Tak kuingat lagi yang mana satu dibawa pulang mereka.
Sharifah sms - mmmm sedap, kengkawan kat sini pun cakap sedap. ada yang tanya kalau nak tempah dari KL boleh ke...
(Tentu saja boleh , Pah... tapi pada hari akak deliver cake ke KL)
Hazrin pula sms - kek tu ok, sedap...semalam lagi dah habis...
Hazrin ada buat order lain sebaik tiba ke Kuantan. Apa ordernya? Akan aku masukkan ke dalam entry akan datang, insyaAllah...





Pulang dari mengundi, sempat lagi menghabiskan tugasan. Pelanggan yang seorang ini setiap kali membuat tempahan minat kepada warna hijau dan perisa pandan. Sebiji kek pandan dengan hiasan simple guna noozle 2D, 29 dan noozle daun. Aku sukakan warnanya.



View complete fotopage


© Pidgin Technologies Ltd. 2016

ns4008464.ip-198-27-69.net