Zati D'hati Fancylicious Cakes

By: amaruszati noor rahim

[Recommend this Fotopage] | [Share this Fotopage]
View complete fotopage

Thursday, 6-Mar-2008 18:05 Email | Share | Bookmark
Nilai sebiji kek dalam sebuah rumah usang & senget

Entah mengapa ketika melihat foto-foto untuk entry kali ini, hati dicuit sayu tiba-tiba. Zaman kecilku sehinggalah remaja, tidak pernah harilahirku diraikan. Tetapi di hati tidak pernah terdetik untuk meminta emak ayah membuat majlis harijadiku, meskipun untuk sepotong kek. Ada rasa teringin meniup lilin apabila mendengar teman-teman menceritakan meriah harijadi mereka, namun tidak pernah terlucut di mulut. Barangkali kerana aku memahami keadaan orang tuaku. Kesusahan kami membuatkan aku bukan peminta-minta. Dapat makan lempeng batak cicah susu pekat atau kuah singgang, lempeng sagu atau lempeng kepala, sudah cukup bersyukur. Subuh hari ke kebun getah bersama mak dan ayah, mengutip susu getah, mencari jering relung dan berkebun sayur, sesekali menangkap ikan sembilang dan belalang, bermain batu seremban dan galah panjang - jadual harianku menjadi padat sehingga tidak sempat untuk memikirkan kemewahan orang lain. Cerita teman-teman dapat berkelah di hujung minggu dan menyambut harilahir dengan lagu happy birthday to you hanya terbang begitu saja, seperti angin lalu tidak sempat kutahu ke mana ia menuju. Waktu yang terus berlari, emak dan ayah sengit berjuang memperbaiki hidup kami, sehingga pondok kecil tak berbilik dengan lantai buluh dan atap nipah bertukar menjadi agak besar dengan dua kamar, ruang tamu, dapur basah dan dapur kering. Perjuangan orang tuaku merngubah tahap hidup berhasil sehingga emak mendirikan rumah kayu cengal dengan 5 kamar, ruang tamu atas dan bawah, dapur kering dan basah di belakang dan tepi rumah. Dalam waktu perjuangan itu juga, tidak terfikir untuk menyambut harilahir kerana waktu demi waktu kuiisi dengan membantu emak di rumah, bersambung ke kedai makan, kemudian kembali memasak di rumah. Terbiasa dengan tidak boleh duduk saja-saja, kerja kreativiti bagiku adalah rehat. Bukan tidur bersantai atau duduk bertangga di rumah orang. Menjahit, mengait, menekat, cross-stitch-antara 'kerja rehatku'. Kini semua kreativiti itu kutinggalkan kerana aku perlu ruang untuk menulis, mengurus kek, suami, anak, rumah.
Barangkali kerana pernah melalui zaman 'keinginan tak terucap', hati ini menjadi simpati pada orang-orang yang sukar, khasnya ibu-ibu yang ditinggalkan suami, sama ada dicerai hidup atau mati atau digantung tak bertali yang ingin membesarkan hati anak-anak pada hari lahir mereka. Pernah seorang ibu tunggal datang bertemu hubby, dalam malu, resah dan serbasalah bertanya sudikah membuat kek harijadi untuk anaknya. Aku menelan liur pekat, termangu dan sayu. Seorang ibu yang bekerja pagi ke petang dengan gaji beberapa sen cuma, menanggar anak-anak seorang diri kerana suami entah ke mana, masih ingin membesarkan hati anak-anak. Aku berfikir tentang wang dari tangannya untuk meraikan hari jadi anak mungkin perlu untuk belanja anak ke sekolah, makan minum harian, yuran, buku sekolah. Apakah kerana sebiji kek kecil, maka anak-anaknya terpaksa bercatu belanja atau langsung tidak berbelanja ke sekolah. Hati kecilku teramat sayu. Lama aku termangu di jendela, merenung jauh pada tanah nenek di belakang rumah yang dulunya semak belukar tempat kuredah pada zaman anak-anakku. Jauh aku diseret kenangan lalu.Aku menyelami jiwa ibu tunggal itu sedalamnya. Untuk membuat anak-anak girang, hatinya turut bergalau bimbang. Aku membayangkan sebiji kek harijadi yang dibeli ibu tunggal itu akan membuatkan anak-anaknya ketawa seisi rumah tetapi hari-hari sementara menunggu gaji, barangkali anak-anak itu akan murung ke sekolah kerana saku tak berisi. Alangkah baiknya andai sebiji kek dapat membuat anak-anak itu riang tanpa perlu bermuram durja sementara ibunya mendapat gaji lagi. Dapatkah anda bayangkan di sebuah rumah yang telah senget bertangga usang, ada anak-anak riang menikmati sepotong kek, ibu memandang anak-anak dengan senyum di bibir tetapi hatinya....
Dalam urusniaga, aku tidak bersandarkan untung semata. Hidup perlu bersandarkan keinsanan. Urusniaga adalah satu elemen dalam hidup. Dengan orang-orang yang serba ada, aku mengharapkan untung. Tetapi dengan orang-orang yang susah, inilah waktu untuk menjadi 'tangan yang di atas'. Nasib anak-anak jiranku yang sedang mengusahakan ternakan keli mungkin lebih baik dari anak-anak ibu tunggal tadi kerana mereka punya ayah, punya ibu, punya rumah batu yang utuh di tanah sendiri dan ada wang pampasan kerana diberhentikan kerja ekoran kilang ditutup. Tetapi anak-anak ibu tunggal itu, ke mana ayahnya menghilang, meninggalkan mereka dengan kudrat rezeki dari tangan seorang ibu, berlindung di dalam sebuah rumah yang senget, barangkali menanti roboh. Aku menangis ketika menulis entry ini. Ada doa tulusku untuk ibu tunggal itu dan masa depan anak-anaknya. Simpati kita kadang-kadang melimpah tetapi kita tidak dapat menghulur banyak. Sebiji kek itu mungkin tidak senilai dengan huluran ribuan ringgit tapi ia mampu mengubat jiwa anak-anak. Produk yang tidak memerlukan banyak kerja, contohnya hanya hiasan wafer atau coklat moist dengan siraman topping coklat serta layangan ringan tulisan happy birthday to you mampu membuat senyum anak-anak itu berbunga meskipun tanpa ayah.
Pada ketika aku memberitahu hubby ingin menaja birthday kek setiap bulan untuk sebuah rumah anak yatim, hubby mengangguk dengan ayat tambahan, "ok juga tapi rumah anak yatim ramai yang sponsor. Tapi orang-orang sukar seperti ibu tunggal tu tak ramai yang tahu susahnya."
Sahabat-sahabatku, entry ini kutulis bukan untuk menunjuk baik. Allah pernah berfirman yang antaranya bermaksud tidak salah kita memberitahu kebaikan yang kita buat dengan tujuan bukan untuk menunjuk-nunjuk, sebaliknya mengajak orang lain berfikir dan ikut melakukannya.
Aku berterima kasih pada hubby dan anak-anak kerana ikut sama memahami getir orang lain. sahabat-sahabatku, senang kita hari ini, mungkin tidak esok hari. Mudah-mudahan dengan kebaikan-kebaikan (jika boleh dikatakan kebaikan) yang kita lakukan, Allah akan memberi kelapangan. Jika tidak di dunia ini, barangkali di akhirat nanti. InsyaAllah. Kita tidak boleh menjadi kita sentiasa. Kita perlu meletakkan diri di tempat orang lain, menghayati dan memahami resah dan susahnya.

Foto di bawah, aku tidak mampu menulis ayat seterusnya kerana masih terbawa-bawa dengan emosi sayuku. Jamu mata. Ampun maaf.







(tengok ni... dah berapa kali cuba kecilkan gambar ke saiz message board tapi tak dapat. teman-teman, photobucket pakai format baru ke? pening pula tengok ada editing seribu macam. sapa boleh tolong aku... macam mana cara nak kecilkan gambar macam entry yang dulu-dulu? hu hu hu besar gedabak gambar ni...


View complete fotopage


© Pidgin Technologies Ltd. 2016

ns4008464.ip-198-27-69.net