Zati D'hati Fancylicious Cakes

By: amaruszati noor rahim

[Recommend this Fotopage] | [Share this Fotopage]
View complete fotopage

Friday, 22-Feb-2008 04:39 Email | Share | Bookmark
AMSYAR LAHIR, SUDIRMAN PERGI

HAPPY BIRTHDAY AMSYAR! 22 Februari 1992, tangis Muhammad Amsyar yang pertama kedengaran tanda lahirnya dia sebagai zuriat percintaan. Aku melahirkannya di rumah, disambut bidan klinik dengan sakit yang sebentar cuma. Pada hari yang sama, allahyarham Sudirman Haji Arshad, kembali ke rahmatullah.
Pagi ini, Amsyar sms - Angah di rumah ama. Subuh tadi tolong ama masak ayam masak kicap untuk jual.
Aku tersenyum. Pandai rupanya membawa diri di tempat orang. Di rumah sendiri, dia akan kembali menyambung tidur selepas solat subuh. Setelah Qayyum kerja di KL, kerja basuh pinggan mangkuk sepenuhnya ditangani Amsyar. Jika Qayyum ada, mereka bergilir. Cuci tandas, buang sampah juga kerja Amsyar. Rumah sentiasa bising dengan aduan adik-adik kerana sikapnya yang suka mengusik. Kini rumah terasa sunyi. Apabila malam-malam turun ke dapur, berpapasan dengan bilik tidurnya, terasa sungguh dia tiada kerana tiada lagi bunyi kipas berpusing, tiada lagi dengkurnya. Ada kerja rutinnya diambil alih oleh S.F. Azzahra, ada juga diambil alih Taqiuddin.
Aku menelefon amsyar beberapa kali tetapi tidak berjawab. Agaknya sambung tidur setelah tolong ama memasak dan menjual. Kutaip kalimat selamat harilahir dan harapan umi. Lama kemudian baru sms berjawab, "Terima kasih umi, angah hampir terlupa birthday angah." agh, amsyar...kalaulah dia ada di sisi, pasti awal-awal pagi lagi kuudap selamat harilahir sambil mendoakan hari-harinya serta mengucup pipi dan keningnya.
Sf Azzahra terlebih dulu menyelak kalendar memeriksa harijadi si polan si polan jatuh pada hari apa, bolehkah disambut bersama? Disebabkan harijadi Amsyar jatuh pada hari persekolahan, maka harijadinya disambut awal ketika dia pulang minggu dulu. Ada beberapa keping gambar sambutannya kuambil, itupun setelah puas memujuk tetapi nasib agaknya lebih berpihak kepada Amsyar yang kurang suka bergambar. Gambar-gambar itu entah macam mana boleh hilang dari file dan tidak dapat disisipkan di sini. Aku sms Amsyar, "angah pakai jampi apa? Semua gambar birthday hari tu hilang." Dia membalas, "alhamdulillah...syukur...he he he...my pic lost." Hem... anak bertuah. Hem, nanti petang apabila anak-anak lain pulang dari sekolah, agenda pertama adalah berhimpun di sisi gagang telefon untuk menyanyikan lagu ulangtahun kelahiran untuk Amsyar.
Pada harijadinya, aku masakkan nasi pandan dengan gulai kambing dan ayam goreng rempah beserta jelatah timun. Kek yang dibuat untuknya - chocolate banana. majlis sambutan harijadi Amsyar dibuat tergesa-gesa, tiada dalam perancangan hendak dibuat awal, maka kek untuknya masih panas ketika dicurah topping. Sebiji kek itu sempat kucuri sejuring untuk dimasukkan ke dalam chiller. Hendak juga tekak ini merasa - mana lebih sedap - dimakan panas-panas atau disimpan chiller? Kedua-duanya enak cuma mudah muak jika dimakan ketika panas. Ini dia anak teruna keduaku dengan senyuman malu dan... inilah chocolate banana yang pertama kali kubuat pada harijadi Amsyar, kini telah jadi permintaan pelanggan.




Zaman kini, anak-anak dilambakkan dengan kerja rumah yang bertimbun. Kadang-kadang terfikir dimanakah masa rehat untuk anak-anak setelah siangnya ada ko kurikulum atau kelas fardhu ain dan letih belum terubat pada waktu malam kerana mengadap kerja rumah. Di mana seronoknya anak-anak zaman ini? Tekanan untuk menghambat peratusan pencapaian yang tinggi menyebabkan setiap sekolah berlumba-lumba menekan pelajar sehingga lupa kanak-kanak memerlukan manisnya zaman mereka.
SF Azzahra, kadang-kadang merungut kerja rumahnya nya berlambak. Penat atau tidak, kerja rumah mesti disiapkan. Minatnya pada dunia bakery dan masakan menyebabkan penatnya hilang apabila diberi peluang mendeko. Pada usia yang masih mentah, aku hanya memberikan kerja mudah ini sebagai latihan untuknya. Itupun kerana cupcakes ini untuk majlis kesyukuran yang aku buat sempena menang sayembara 50 tahun novel merdeka, juga sempena emak ayah selamat mengerjakan haji. Kalau untuk dijual, hati tidak cekak lagi melepaskan hasil kerja tangan Azzahra untuk pelanggan. Aku sibuk di dapur memasak udang, tenggiri, sayur, sotong, 20 3kor ayam dan 2 ekor kambing dibantu adik. Maka kerja menghias cupcakes kuserahkan kepada Azzahra.



Tekun SF Azzahra bekerja di ruang bakery yang belum sempurna... Di bawah ini, foto cupcakes dari tangan anak daraku. Antaranya teknik marble/mozek menggunakan piping jelly yang mudah yang diperturunkan Lynnhassan...










Ini design mudah. "Eh! macam mana azazahra buat star ni? Star Azzahra lebih cantik dari star umi la..." aku membesarkan hati SF Azzahra. Dia senyum simpul sambil mengangkat kening berkali-kali.

Demikianlah rakaman kerja tangan SF Azzahra. Kukira ia dapat melepaskan segala tekanan dengan kepuasannya dapat mendeko sesuatu yang mudah. Yang di bawah ini pula, dalam terkejar-kejar memasak juadah, tangan gatal juga hendak mendeko sedikit. Beginilah rupanya hasil tanganku dalam kesibukanku... terpaksalah aku mengakui star dari tangan Azzahra lebih elok berbanding dari tanganku



View complete fotopage


© Pidgin Technologies Ltd. 2016

ns4008464.ip-198-27-69.net