Zati D'hati Fancylicious Cakes

By: amaruszati noor rahim

[Recommend this Fotopage] | [Share this Fotopage]
View complete fotopage

Wednesday, 30-Jan-2008 01:39 Email | Share | Bookmark
KE KL DARI TANAH MERAH;KEMENANGAN 'EPISOD CINTA DI TANAH HIJRAH'

"Kak Zati dah tukar bidang ke?" "Dah tak menulis? Kenapa?" "Janganlah berhenti menulis, kak. Saya rindu karya-karya akak." Inilah antara pertanyaan-pertanyaan daripada peminat-peminat novelku yang kuterima lewat sms, email mahupun pada jejak yang ditinggalkan di fp ini.
Aku berterima kasih kepada semua pembaca karyaku. Ada beberapa hal yang mahu kujelaskan. Aku masih menulis tetapi banyak dalam bentuk skrip drama radio. Masih juga menulis novel dan cerpen tetapi sebagai seorang yang sudah ada khalayak pembaca, aku tidak mahu menulis sambil lewa. Tidak mahu menulis dengan banyak tetapi ceritanya klise, balik-balik itu juga yang dipaparkan kepada pembaca. Aku tidak mahu yang sebegitu. Bukan sedikit aku mendengar keluhan pembaca. Mengeluh apabila karya penulis kesayangan mereka, asyik-asyik itu juga. "Eh! Cerita dia ni lebih kurang samalah dengan novel dulu. Dia pusing sikit je." Itu antara rungutan pembaca. Nah! Itulah yang mahu aku elakkan. Aku mahu tampil dengan cerita yang lebih hebat. Perasaan ingin tampil dengan cerita yang lebih hebat ini kadang-kadang menimbulkan ragu dalam kalbu. Ada mainan pertanyaan yang datang - eh! mutu cerita yang aku tulis ni lebih rendah atau tinggi dari dulu? Ragu ini membuat aku tercenung seketika, terhenti sementara menyusun aksara menjadi cerita. Aku mungkin tidak sehebat penulis-penulis arus perdana yang lain. Tetapi aku mesti menjadikan diriku hebat. Aku mesti berusaha menguasai dua audien - audien yang mahu rileks dan audien yang mahu berfikir. Aku tahu ia sulit, tetapi aku harus mencuba.



Semalam, 29 januari 2008, aku menerima hadiah penghargaan Sayembara Menulis Novel 50 tahun Merdeka, membawa pulang wang tunai RM10,000.00. Tiada kemenangan untuk tempat pertama dan kedua atas alasan aras penilaian. Kalau ada, mungkin kedudukanku bukan di tempat penghargaan. Apapun, alhamdulillah, aku bersyukur atas rezeki yang Allah berikan.Ini adalah percubaan pertamaku menyertai sayembara novel. Satu peningkatan kukira.Apalagi novel ini mengangkat tema merebut dan mengisi kemerdekaan, tetapi seperti biasa aku memilih gaya bahasa yang mudah supaya aku dapat terus memancing khalayak remaja dan pembaca yang tidak mahu serabut kepala. Lihat gambar - tersenyum aku kerana diusik Pak Menteri tentang judul Episod Cinta di Tanah Hijrah, "Kenapa orang perempuan suka tulis fasal cinta ya?" Aku menjawab, "cinta itu luas maknanya." Kata Dato' Firdaus, Pengarah DBP, "Dia deklamator yang bagus. Bla bla bla...."
Apakah pengisian episod cinta? Apakah pula makna Tanah Hijrah? Nak tahu kenalah baca untuk memahami makna cinta yang kental di dalam perjuangan merebut dan mengisi kemerdekaan di samping menikmati renjisan cinta insani. Proses kreatif Episod Cinta di Tanah Hijrah akan aku tulis di entry akan datang.

Aku bukan menukar bidang. Bukan meninggalkan dunia penulisan untuk bermesra dengan kek dan aising. Aku menambah bidang kemahiran untuk tampil hebat di mata anak-anak. Menulis tidak sesekali akan kutinggalkan. Bakat adalah anugerah Allah. Aku bertanggung jawab mensyukuri anugerahnya. Cara untuk bersyukur? Cara untuk memanfaatkan amanah Allah? Aku mesti terus menulis. InsyaAllah.

Untuk hadir ke KL menerima hadiah ini, aku melalui perjalanan jauh. Dalam keadaan tergesa-gesa, kami bertolak ke Kota Bharu. 'Alim pulang dari asrama SMK Seri Rompin, hanya sempat bermesra dengannya dua tiga jam. Sempat aku buatkan 3 loyang brownies, setiap satunya untuk 'alim, qayyum dan amsyar. Juga buat simple chocolate moist untuk tempahan Nor di Kuala Berang, Terengganu, tempahan tauke Ellieze De Heart - tauke kek cawan, untuk ummict dan untuk dibawa ke rumah amma. Lee Dya Akiki yang kami panggil Lila, anak abang iparku penggemar moist chocolate kek. Alahai, tersilap loyang pula. Loyang terlalu besar, muatannya sedikit. Aku terpaksa potong dan lapiskan menjadi tinggi. Hanya sebiji ini sempat dibuatkan untuk ke rumah amma. Kata hubby, "tak apa, nanti balik raya Gong Xi, boleh bawa lebih." Inilah rupanya....macam loaf roti pula.



Tidur semalaman di rumah amma. Jam lapan pagi kami bergerak ke Tanah Merah setelah perut diisi dengan nasi berlaukkan gulai itik serati, paprik belut dan ayam kampung goreng kunyit. Banyak cerita juga kerja pendaftaran Amsyar di SM Teknik Tanah Merah itu. SMT Tanah Merah adalah sekolah Teknik yang terbesar di Malaysia dan menawarkan hampir keseluruhan kursus teknikal dan vokasional. Kawasan sekolahnya luas. Berjalan di dalam kawasannya seperti berjalan di dalam kawasan kolej. Berhampiran dengan asrama, ada tasik buatan. S.F. Azzahra mengusik, "Kalau tension, jangan terjun tasik pula." Gelak kami terburai.
Hanya dua orang lelaki di dalam jurusan bakeri. Di Semenanjung, hanya dua sekolah teknik menawarkan kursus bakeri. Kata Amsyar, "angah akan jadi lelaki macho di kelas ni." Aku menyindir, "Kecilkan badan dulu, barulah macho." Dia membalas, "Kalau kecil, orang tak nampak pula." Alhamdulillah, rezeki Amsyar ke SMT. Di SMKPJ tempat dia menumpang sementara menunggu keputusan ke SMT, dia mohon ditempatkan dalam jurusan sains rumahtangga. Sebelum berpisah sempat kupujuk dia bergambar. Alahai, anak yang ini bukan mudah hendak diambil gambarnya. Kena pujuk-pujuk dulu...





Selesai menguruskan hal Amsyar, kira-kira jam 2 selesai menunaikan solat jamak kami bertolak ke Kuala Lumpur melalui Gua Musang. Waktu inilah baru memikirkan tentang kek tempahan tauke kek cawan, Ely si cantik manis itu dan kek untuk ummict yang tak kukenali. Ely mulanya mahukan dihias dengan strawberry tetapi strawberry payah sekali di Pekan. Di Kuantan pun jarang-jarang ada. Ely minta dilukis ultraman. Hati ini risau juga sebenarnya, takut rasa kek berubah, takut rupanya berubah dek kerana perjalanan jauh. Hendak dilukis, aku tertinggal piping jelly. Mahu tak mahu, suruh adik belikan strawberry. Maka kerja melengkapkan kek tempahan Ely dan Ummict dibuat di rumah adik di Damansara Damai.






Selesai kek itu, aku dengan 'susah payah' masak 4 kg pulut kuning, mihun goreng, rendang ayam, jely dan carrot cake. Kenapa 'susah payah"? Kerana adikku itu keluarganya kecil, hanya ada seorang anak, maka tiadalah bekas-bekas besar, tiadalah periuk belanga besar, tiadalah kuali dan pengukus besar. Dengan pengukus yang paling 'cute', kerja mengukus jadi renyah amat. Goreng bihun dan masak rendang pun jadi renyah. Niat nak buat suprise cake untuk Qayyum terpaksa dibatalkan kerana tiada peralatan. Kalau tidak kerana perjalanan jauh, pasti segalanya kumasak dari Pekan terus kubawa ke KL.

Lebih sebulan tidak bertemu Qayyum, badannya yang gempal itu susut sedikit. Aku menarik nafas lega kerana ia jauh dari fikiranku selama ini yang membayangkan dia bertambah bulat. Aku tidak mahu dia gemuk. Kata adikku, "Kesian Qayyum pergi kelas Bahasa Inggeris di UIA tu. Jauh dari Bukit Bintang. Nak masuk ke UIA tu jauh. Kalau ada motor, lainlah."

Biar dia rasa susah - kataku. Kalau dia nak ambil lesen motor, pandai-pandailah kumpul duit sendiri. Duit umi untuk hantar kursus demi kursus. Lagipun aku tidak mahu dia segera ada lesen. Biarlah dia ke sana ke sini dengan LRT daripada bermotor, untuk waktu ini.

Kami meraikan harijadi Qayyum di rumah penginapan staff izzi great italian & asean cruisine. Di tingkat dua - oo, aku boleh kurus kerana turun naik tangganya. Dari ruang tamu ke kamar tidur hingga ke dapur, segalanya bersih terurus. Teman-teman serumah Qayyum - warga Indonesia yang telah lama bekerja di cawangan Izzi di Indonesia dan kini dihantar bertugas di Malaysia. Izzi bermula di Indonesia, membuka cawangan demi cawangan sebelum melebarkan sayap bisnes ke Malaysia. Semuanya ramah, hidup bagai satu keluarga yang mesra. Aku menyukai mereka semua. Meski baru kali pertama bertemu, ada gurau senda dan gelak tawa. Mereka membuang segala keraguanku. Dipelawa kami tidur di situ tetapi kami tidak membuat persediaan. Datang hanya membawa makanan. "Jangan pulang lagi. Tunggu housemate kita, dalam perjalanan dari airport ke sini. Nanti boleh rasa ole-ole dari Jakarta. Jengkot. Ibu pernah makan jengkot?"
Jengkot? Apa tu? Rupa-rupanya jering yang telah dimasak dibuat rendang. Aku teringin mencubanya tetapi Taqiuddin sudah mengantuk benar, merengek mengajak pulang.
Keluarga baru Qayyum ini menghantar kami hingga kami masuk ke perut kereta. Aku berdoa agar segalanya baik dan di dalam lindungan Allah Yang Maha Pengasih. Selain kenangan indah bersama mereka, aku turut mebawa pulang cenderahati-cenderahati promosi stesen tv dan produk yang selalu membuat penggambaran di Izzi.





Pulang dari rumah penginapan Qayyum, bakar kek lagi untuk teman di DBP. Disebabkan tiada peralatan hendak menghias, lebihan strawberry jadi penyelamat. Ada juga buat simple chocolate moist dihias dengan coklat parut dan hirisan strawberry tetapi terlupa pula merakamkan fotonya.



Bertolak keluar dari Damansara Damai jam 7.45 malam, berhenti makan di Plaza Rehat di Temerloh. Perjalanan jadi begitu lambat kerana hujan lebat. Tiba Pekan jam 1 pagi. Adduh! Capek banget sih!

[quote]jom sembang...

1.Ana - [Link]- aku nak pi penang. hang belanja aku nasi kandar tapi tak mau mamak punya

2.Bonda RaqynRafiqin - [Link] terimakasih, rezeki dari Allah, balasan atas usaha.

3. yaa yaa_alan@yahoo.com - [Link]- duit nak buat apa? himpun, untuk belajar anak-anak.

4.zaitgha zaitgha@gmail.com - [Link]- beginilah naluri ibu, zai...

5.rinnchan - [Link]- menjeling menjeling hai bertentang, mata kita saling memandang tapi mata kita tak sempat saling memandang lagi , rynn

6.boxhousestudio boxhousestudio@gmail.com - [Link]- alhamdulillah, kak..Allah memberi ganjarabn atas sekian kesabaranku

7.mamazieza - mamaaaa... muahahahaha....

8.am_1681@yahoo.com - bila buku terbit, akak beritahu. kau kena beli satu, tanda menyokong akak

9. Hajar - [Link]- tq, jar. semoga akak semakin gigih, tidak riak, tidak takbur...

10. Along 2929 - terima kasih.... siapa dia along ni ek?

11. aishah - [Link]- aishah, hidup tanpa azam ibarat pelita tanpa sumbu tanpa minyak...

11.zairieza - [Link]- tq, sayang..

12. fadzilsalleh fadzilsalleh@yahoo.com - [Link]- insyaAllah, semoga Allah melebar dan meluaskan rezeki kita semua untuk membina hidup insan-insan tersayang

13. MaDiHa - [Link]- terimakasih, madiha. sulit untuk menyempurnakan segala. Allah tidak memberi semua unbtuk kita. kita perlu mencarinya

14. chepah chepah75@yahoo.com - [Link]- insyaAllah, chepah...terima kasih

15.ummizaihadi@yahoo.com.my - [Link]- saya pun teringin jumpa ummi tapi alahai, sibuk betul kat bakery dan pc

16.ha/chendana ayu_cendana@yahoo.com - [Link]- mari kita berdoa untuk rezeki kita demi membesarkan anak-anak, ha...


17. mamasya mamasya22@yahoo.com - [Link]- struggle untuk segalanya

18. lynnhassan - macamana nak tumpang kat umah lynn, dah tahu lynn sibuk. akak suruh adik beli strawbery di dck mart di selayang... ok juga buahnya dan tak masam


19. soulha,cairo - [Link]- terimakasih soulha...

20. lavender2905@yahoo.com - alamat emel dan ym ada kat header fp ini. akak pun dulu belajar menjahit, sempat gak ambil upah jahit baju. seklarang ni baju ku ready made aje...


21. wiz - [Link]- dengan segala doamu, wiz, insyaAllah kita akan sam2 menempa jaya

22.aishah@ummiaqil - [Link]- doa untukmu juga aishah..

23. Ah Mat Gebu - [Link]- toce, toce, mat....







View complete fotopage


© Pidgin Technologies Ltd. 2016

ns4008464.ip-198-27-69.net