Zati D'hati Fancylicious Cakes

By: amaruszati noor rahim

[Recommend this Fotopage] | [Share this Fotopage]
View complete fotopage

Saturday, 5-Jan-2008 01:28 Email | Share | Bookmark
PULUT KUNING & MASAK KAMBING VERSI ZATI D'HATI




"Masa birthday adik, adik tak sihat. Adik tak dapat makan pulut banyak. Umi masak pulut lagi, umi." Begitulah rengek Taqiuddin.
Naluri ibu - kalau anak minta makanan, tak sampai hati hendak membiarkan begitu sahaja. Tambahan pula dibesarkan dengan kata-kata bonda, "kempunan anak tu nanti." Entah kerana kebenaran kepercayaan ataupun kerana kebetulan pada garis takdir, kempunan itu berlaku.
Banyak kepercayaan bonda sebagai orang lama. Darah keturunan bugis dan jawa dalam diri bonda menjalarkan banyak kepercayaan. Asal keturunan bonda daripada Pulau Jawa, Sulawesi. Menyelamatkan diri daripada perang. Berkoleklah poyang moyang ini pada kurun ke 18 - 4 beradik- Aji, Kolek, Tukam dan Lekan menyusuri Sungai Muar ke Pantai Layang, Sungai Senduk, Mukim Serum. Mereka membuka perkampungan di situ dengan kederat tulang 4 kerat. Menggali sungai dengan kudrat tubuh. Sempena gotong royong itu, maka sungai itu dinamakan Sungai Guntong- singkatan daripada gotong royong. Di kampung itu, beca roda dua yang ditarik oleh orang-orang thionghua dari melaka yang selalu berhenti sebuah rumah baba di simpang jalan. Lama kelamaan Kampung Sungai Guntong bertukar menjadi Kampung Simpang Baba. Daripada lapisan keturunan Aji, lapis ke lapis, maka menerusi nenek lahirlah ibu, hasil perkahwinan nenek dengan datuk yang berdarah jawa. Datuk sebelah ayahandaku dan datuk sebelah bonda punya hubungan sepupu. Poyang moyang sebelah ayahanda memang lahir di Jawa (o, o! Ketika aku menulis ini, aku terlupa nama tempatnya, telah kujelajahi websitenya dulu bahawa tempat itu banyak melahirkan raja-raja perkasa), mereka berhijrah ke Tanah Melayu. Susurgalur nenekku sebelah ayahanda daripada Aceh, berhijrah ke Kelantan dan bekerja sebagai panglima di istana Kelantan.
Tulisan ini merayau jauh jadinya - hanya berpunca dari kepercayaan kuat dari bonda & ayahanda, aku menyusuri susur galur keturunanku.
Barangkali kerana faktor keturunan itulah, maka banyak kepercayaan-kepercayaan orang tuaku.
Bonda dan ayahanda selalu melarang beri anak makan pulut ketika mereka kecil. Alasannya, budak jadi gagap dan lembab. Tetapi hubby yang membesar dari keturunan China dan Siam memberitahuku, orang Siam banyak makan pulut, tak gagap pun.
Alhamdulillah, tidak ada anak yang gagap kecuali Amsyar yang kepetahannya patah tiba-tiba apabila kepalanya terhentak, kemalangan dilanggar motorsikal. Langgar lari ketika usianya 4 tahun. Dia manjadi gagap selepas demam akibat kejadian itu. setiap kali dia hendak bercakap, dia terpaksa menghentakkan kakinya. Tahu bahawa penyelesaian untuk petah semula bukanlah kepada doktor, aku membawanya berurut, membetulkan urat tengkuk dan lehernya yang mungkin tergencat akibat kemalangan itu. Alhamdulillah, dia menjadi petah semula.
Menunaikan permintaan Taqiuddin, pulut kuning kumasak semula. Kebetulan ada angin rajin menumbuk kunyit hidup yang ada sedikit saja didapur. Pulut ini aku lawankan dengan masak kambing, kebetulan itu saja yang ada dalam peti ais. Aku tidak suka pada rempah beriani. Jadi ini adalah resepi campak-campak sejak dulu.. Kalau ambil tempahan nasi beriani, aku tidak masak kambing menggunakan rempah beriyani. Pelanggan jatuh cinta pada masak kambing ini, mereka menolak kambing masak beriyani. Yuk... ikuti aku ke dapur menyediakan pulut ...

BAHAN-BAHAN PULUT KUNING


Pulut
Air kunyit hidup
Pati Santan
Garam
Sikit saja gula kalau mahu
* semua bahan ni aku agak-agak saja...ala-ala professionalo gitu, mana ada sukat-sukat

Pulut direndam dengan air perahan kunyit dan dua tiga keping asam gelugor. Asam gelugor dapat mengilatkan lagi warna pulut, makin berseri. Aku rendam semalaman, rendam malam, kukus subuh, pulut lebih lembut dan tak payah kukus lama-lama. Toskan pulut. Kukus. angkat, bila nampak macam dah nak masak. Kemudian gaulkan dengan pati santan dengan garam secukupnya. Nak letak gula sikit pun boleh, sikit je buat rasa-rasa, untuk berpadu dengan rasa lemak dan masin saja. Terlebih gula nanti jadi pengat pula. Kukus lagi sekali.
* Kukus dua kali dapat memberi ketahanan pada pulut, payah basi.

MASAK KAMBING VERSI ZATI D'HATI
minyak
Rempah penumis - Bunga lawang, bunga cengkih, buah pelaga, kulit kayu manis
bawang putih - ketuk saja
bawang kisar
halia kisar
lada kisar
rempah kari- bancuh likat dengan air
susu cair
sos tomato
daun saderi satu pohon, simpulkan
garam
gula
serbuk perasa jika suka

Kaedah:
1. panaskan minyak.
2. tumis rempah penumis hingga naik bau. Masuk bawang putih, naik bau.
3. masuk bawang kisar dan halia hingga hampir garing, baru masukkan lada.
4. Garingkan lada. Masukkan rempah kari, kacau hingga terbit minyak dengan api perlahan. kemudian masukkan gula. kacau dan tunggu gula cair/hangus. Warna rempah akan bertukar warna kerana gula mencair. Masukkan sos tomato .
5. Masukkan daging, renehkan.
6.Masukkan air. Tunggu hingga empuk.
7. Bila empuk masukkan susu cair.
8. bila pekat, masukkan daun saderi yang telah disimpul.
9. Rasa, tambahlah apa yang patut secukupnya.
10. Nak sedap lagi, tabur bawang goreng.

Pengalaman Zati D'hati:
1. Tiap kali masak daging, memang aku letak akar betik. Malas lama-lama di dapur.
2. Aku agak cerewet fasal tumis menumis. Garingkan bawang, baru aku masukkan lada, dan garingkan lagi. Kalau masuk sekaligus, tak kena rasanya dengan tekak ni.
3. Bonda dah ajar, kalau masakan ada gula, masukkan gula, hanguskan gula dulu. warna kuah akan jadi lebih cantik dan rasa gula yang dicairkan itu lebih sedap daripada campak gula kemudian.
4. Ada orang letak garam, gula kemudian. Tapi aku suka letak awal supaya rasanya itu sebati dengan daging waktu proses renih.
5. Reneh? Orang tua dulu kata - mati air. ertinya habiskan air asal dalam daging, baru masukkan air.

Ta ra rammm...dah siap!

Code:
Jom sembang:

1. Daalia lea1207@yahoo.com - [Link] saya suka banget dengan daging kambing, daalia... setakat ni, alhamdulillah, belum ada darah tinggi. nauzubillah, minta dijauhkan Allah.

2. Noor Rikha rikha_mie@yahoo.com- kak, aku pun jawa murtad, nasib baik kenal tempe. tq, kak, info laman kesihatan terapi daging kambing tu.

3.anna - [Link] - shh! jangan puji sangat orang jawa, marah orang lain nanti. Pada akak orang indonesia memang rajin kerana mereka cuba melawan kemelaratan.

4. zanaz - [Link]- fasal memasak, akak amat percaya walaupun kita masak campak-campak, tapi tumis mesti cukup garing supaya tak ada rasa `lecas' atau bawang lada mentah. Zanaz, akak guna whipping cream vivo (halalnya diakui oleh majlis agama islam singapura) ataupun Rich gold (halalnya diakui oleh China Muslim negeri China). Akak putar pakai hand mixer je coz memang tak ada mixer kenwood atau kitchen aid yang tersohor tu. Bila putaran rasa berat, akak berhenti beat. Nanti akak tulis dalam entry akan datang.

soulha,cairo - [Link]- yelah, kena pulak yang puji tu cik abang dan anak-anakkan, rasa kembang sejambak...tak sampai hati nak nolak

lynnhassan lynnhassan@yahoo.com - [Link]- akak ni bab buat pulut masih rajin, lynn, yang malasnya tika nak basuh kukus yang meloket segalo tu. addehhh

Ana - [Link]- cicahlah dengan apa pun yang kita suka. ada tempat tu makan pulut kuning mesti dengan telur rebus. biras aku makan pulut dengan budu! lagi kellas!

rinnchan - [Link]- yalah, rinn...orang dulu-dulu bersusah payah nak memasak, dengan lesung tangan, lesung kaki, batu giling, lesung putar tepung. Kita sekarang ni dah banyak kemudahan, cuma angin M tu banyak sangat.


boxhousestudio boxhousestudio@gmail.com - [Link]- kak, kau buat aku urut dada. choc moist tu nanti tak lebur ke? nanti kena kepal-kepal jadi choc ball pulak... ada customer saya yang pos untuk kawannya ke sabah...dah dua kali pos, tak tahulah jadi guane kek tu. seram aku membayangkannya. Nanti aku risik-risik dengan courier. ari tu pos biskut raya dengan sky net, jadi sagun. serik. nanti try tanya city link


View complete fotopage


© Pidgin Technologies Ltd. 2016

ns4008464.ip-198-27-69.net