Zati D'hati Fancylicious Cakes

By: amaruszati noor rahim

[Recommend this Fotopage] | [Share this Fotopage]
View complete fotopage

Friday, 23-Nov-2007 21:38 Email | Share | Bookmark
Apabila berlaku tidak ingat...

 
 
Apakah organ yang paling penting dalam tubuh kita ini? Semuanya penting, semuanya ada fungsi yang tersendiri. Kalau organ-organ saling bertekak mengatakan mereka hebat, maka punggung juga mengatakan ia hebat kerana ia punya daya pemikat. Organ-organ lain mungkin berkata - agh! kau tempat yang busuk dan punggung pasti menjawab, "kau tak tahu bersyukur. Aku sedia menjadi tempat yang busuk untuk buang segala angin dan bahan tak berguna. Jika semua angin dan bahan tak berguna bersarang di dalam tubuh, bukan saja perut yang sakit, kaki akan sakit, tangan akan sakit, pinggang akan sakit. Mulut dan tekak juga sakit kerana jadi tak selera makan. Semua organ akan sakit kerana angin yang merasuk satu badan. Itulah pentingnya aku, sebagai daya pemikat dan sebagai pembuang angin dan bahan tak berguna." Bererti semua pada tubuh kita ada fungsi yang tersendiri.
Dalam kondiksi yang tegang, apa yang kita fikirkan? Duit? Rumah? Kereta besar? Segala yang indah-indah?
22 April 2006, jam 1 pagi. Aku tersedar oleh satu gegaran tetapi mamai. Sedar-sedar hubby meraba kakiku.
"Alhamdulillah, tak tersepit," sayup-sayup kudengar suara hubby. Masih lagi mamai. "Zati, bangun, keluar. Kita langgar kerbau."
Terpinga-pinga aku mengangkat kepala yang tertangkur pada dash board. Terasa seperti hujan jatuh ke muka dan baju, hujan halus, hujan kaca.
Pintu van rapat ke tubuh. Dash board juga rapat ke tubuh. Aku cuba membuka pintu, alhamdulillah, boleh dibuka sedikit, cukup untuk meloloskan tubuhku. Kepala terasa berat sangat. Dalam perdu pagi di jalan yang gelita itu, seekor kerbau berdarah menghambur ke hutan. Seekor anak kerbau menguak kecil tersadai di tepi jalan. Seekor lagi tercampak di depan van setelah terlambung ke cermin hadapan, mengikut kata hubby. Dua tiga kereta berhenti. Suluhan lampu kereta mereka memperlihatkan kertas-kertas, buku-buku - borang-borang dan bahan bantu mengajar di kem PLKN bertaburan di jalan. Kepala terasa berat benar seolah-olah aku membawa batu besar di kepala. Tubuh renyuh habis.Tetapi aku lupakan kesakitan itu. Borang dan buku-buku bantuan mengajar itu lebih penting.
"Kak, muka akak darah." Lelaki muda itu menghulurkan tisu.
"Iya?" Aneh, darah itu mengalir tetapi aku seperti tidak terasa. Aku tidak fikir langsung tentang wajah yang selama ini diberi perhatian. Tak cukup dengan rawatan di rumah, pergi facial pula.
Jalan kampung itu jarang ada kereta. Dengan bantuan orang-orang yang berhenti di situ, aku turut sama mengutip barang. Hubby dan orang-orang lain menyuruhku duduk tetapi aku tidak endah. Aku tidak mahu satupun segala macam bahan bantu mengajar di kem tertinggal di situ. Bahan-bahan ini penting bagiju.
YB Dato' Ishak yang kebetulan lalu di situ mengenaliku lewat majlis-majlis yang aku berikan komitmen. Dia menawarkan menghantarku ke hospital tetapi aku menggeleng. Aku mahu bersama hubby. Hubby tidak cedera sedikit pun.
Setelah siap mengutip segala barang, sementara menunggu adik datang menjemput, aku duduk di birai jalan. Kudengar hubby bercerita, segerombolan kerbau naik dari kawasan paya, hubby tidak membrek, hanya membiarkan van berpusing dan berhenti sendiri. Kalau brek, barangkali kami akan tercampak ke dalam sungai.
Duduk di tepi jalan itu, aku tidak fikir tentang van yang remuk, tidak fikir tentang wajah yang mungkin tercela, tidak fikir tentang ketiadaan satu kenderaan akan membantutkan urusan keluarga dan kerja. Tidak fikit tentang seluar yang rabak, badan yang renyuh, luka dan lebam merah macam buah memar. Yang kufikirkan hanyalah - boleh guna lagi ke kepala aku ni? Otak di dalam kepala inilah yang mengawal seluruh badan. Kawalan mindalah yang memberi arahan kepada seluruh tubuh. Boleh ke aku menulis lagi? Boleh ke aku menghafal puisi dan ayat-ayat al-quran yang tertentu lagi? Boleh ke aku menyimpan idea tanpa mencatat?
Degil! Aku berjalan memanjat tangga curam wad kecemasan meskipun orang menyorongkan kerusi roda. Aku masih kuatlah, masih boleh berjalan. Entah mengapa, aku selalu melihat kerusi roda sebagai satu benda yang melumpuhkan kekuatan orang yang masih boleh bergerak. Tetapi ia boleh meransang orang lumpuh agar boleh berjalan. Itu firasatku.
Kaca-kaca halus yang berserdak di wajah dicuci nurse. Ada yang tertinggal kerana terlalu halus. Perkara pertama yang aku tanya - kepala saya berat sangat. Kata pembantu perubatan yang bertugas, kalau tidak muntah-muntah, tidak perlu scan. Soalan lain dari pembantu perbutana tu, "Akak tak terkejut ke?"
"Kenapa?" Aku membalas soalannya dengan pertanyaan.
"Tekanan darah akak normal, 110/90. Selalunya lepas accident, tekanan darah naik mendadak kerana terkejut, risau."
Alhamdulillah. Ini bermakna aku redha. Aku tidak memikirkan hal-hal lain akibat kecelakaan itu kecuali otakku.
Esoknya ramai teman-teman bertandang ke rumah. Tidak percaya aku menghidang air untuk mereka. Ada yang ke hospital terlebih dulu, mencari di wad kerana salah faham dengan info hubby. Ada yang berkata, "Ya Allah, Zati, panjang umur kau lagi. Kalau aku tengok keadaan van tu, aku rasa kau dah habis. Sebelah kau duduk tu, dah lah termasuk ke dalam, terangkat ke atas pula." Ya Tuhan...Aku bersyukur kerana Allah masih memberi aku peluang bernafas di buminya, bertaubat atas segala dosa dan menambah ibadat. Masih diberi peluang membesarkan anak-anak, melihat ragam keletah mereka. Masih diberi peluang menyintai dan dicintai hubby. Masih diberi peluang berbakti kepada orang tua setakat yang kumampu. Masih diberi peluang melunaskan cita-cita.
Aku ini memang degil agaknya. Selagi aku kuat, aku tidak akan mengalah. Dengan badan yang amat renyuh, lebam memar, wajah yang tidak boleh disolek lagi kerana luka-luka aku pergi juga ke kem lima belas jam selepas accident itu. Mata yang macam nak tersembul merah aku sembunyikan di balik kacamata hitam. Sesekali fikir, terasa lucu pula. Berkaca hitam di waktu malam. Mak bondaku berkhutbah panjang melihat aku siap-siap memakai uniform fasilitator untuk ke kem. Alahai, mak...nak buat macam mana...aku dah mengajar diriku kebal hadapi apa saja selagi mampu bergerak, selagi otak berfungsi.
Entah kerana accident itu atau kerana aku perlukan ginkgo atau kerana simptom remaja purba, atau kerana kekurangan vitamin B12, atau kerana kegagalan kelenjar tiroid, banyak perkara yang tidak kuiingat, ramai orang yang tidak kukenal. Anehnya, aku mengingati hal-hal di zaman anak-anak dan zaman remajaku. Tetapi banyak hal yang berlaku dalam lingkungan limabelas hingga duapuluh tahun kebelakangan ini tidak kuingat. Kadang-kadang yang berlaku sejam lalu tidak kuiingat. Sebagai terapi pada diri sendiri, selain mengambil makanan tambahan, aku bisikkan pada diri, daya ingatanku kurang kerana hentakan kuat di kepala, bukan kerana simptom awal penyakit alzheimer, bukan juga sebagai simptom awal dimentia. Aku masih muda, aku selalu berkata begitu pada diri untuk mengembalikan semula ingatanku. Tetapi bila bercakap soal ibadat, aku selalu berkata pada diri, aku dah tua, tak tahu bila akan pergi, ibadat sikitnyalah.
Anak-anak selalu mengusik, ":nasib baik umi masih ingat anak dan abi."
Hubby selalu mengingatkanku tentang tempahan yang masuk, terutamanya deco kek yang tidak dapat dia membantu.
Kek Riani dan Suhaili ini misalnya, aku sumbatkan ke dalam chiller tanpa diletakkan di dalam kotak terlebih dahulu. Awal subuh sepatutnya aku keluarkan supaya wap ais dapat hilang penuh ketika hendak menambah hiasan. Kek yang telah dilepa dimasukkan ke dalam chiller mestilah dinyahais/dinyah beku sebelum ditambah hiasan yang berlainan warna. Kalau tiada beza warna, teruskan saja. Jika diletakkan di dalam kotak terlebih dulu, kek kurang menyerap lembapan dan lebih mudah untuk membuat penambahan deko tanpa perlu menunggu lama/ Mungkin pendeko-pendeko lain, berbeza caranya. Ini caraku, cara seorang amatur dalam dunia deko yang baru enam tujuh bulan. Ada pendeko lain yang boleh berkongsi cara lain denganku di sini? Bagiku sebenarnya, adalah lebih mudah proses melayer, melepa, menghias, membuat tulisan diselesaikan sekaligus tanpa masukkan ke dalam chiller. Tapi ada ketikanya mata mengantuk - selesai lepa, masukkan ke dalam chiller untuk disambung keesokannya. Perhatikan kek ini. Tulisan coklatnya nampak berserak sikit kerana air yang tidak keluar habis dari buttercream. Foto ini tidak terang kerana kekurangan bateri.



View complete fotopage


© Pidgin Technologies Ltd. 2016

ns4008464.ip-198-27-69.net