Zati D'hati Fancylicious Cakes

By: amaruszati noor rahim

[Recommend this Fotopage] | [Share this Fotopage]
View complete fotopage

Tuesday, 28-Aug-2007 10:55 Email | Share | Bookmark
GEMENTAR SELURUH TUBUHKU

 
 
Arjue meninggalkan pesanan ingin menempah kek di ruangan komen fp. Aku menghubunginya lewat emel dan dia membalasnya. Emelnya kubaca ketika malam merangkak ke perdu pagi, pada saat kelopak mata cukup berat.
Rupa-rupanya Arjue itu anak Dato' Dollah, pengerusi Lembaga Muzium Negeri Pahang. Telah lama aku tidak ketemu Arjue, dua tiga tahun barangkali.
"Satu untuk diraikan di sekolah, satu lagi untuk di rumah. Tulis dengan tulisan jawi ya."
"Hah! Jawi?" Ingin saja aku menolak. Pertama, tidak pernah kucuba tulis tulisan jawi di atas kek. Tentu menggigil jari-jemariku. Kedua, aku boleh menulis jawi tetapi bagaimana hendak mengatur supaya kelihatan menarik.
Arjue ketawa. "Kita kan sedang mengangkat tulisan jawi."
Tanpa menolak, aku akur menerima ini sebagai cabaran. Ya, satu ketika dulu, tulisan jawi dengan rendah dan cukup berseni menyusuri setiap inci bumi Melayu, menyusup hingga ke puncak-puncak jauh, melahirkan ramai ahli fikir, ulama dan ilmuwan . Malah sebelum dijajah, penjajah Inggeris menggunakan tulisan jawi sebagai satu perantara komunikasi bertulis, sekaligus cuba mengambil hati orang Melayu. Apabila mereka dapat menakluki bumi Melayu, perlahan-lahan tulisan rumi dibawa masuk untuk meminggirkan tulisan jawi. Inilah nasib satu khazanah bangsa yang berjasa.
Tengahari itu, Arjue menghubungiku. "Akak, mana kek saya?"
"Hah? Akak hantar petang. Nak buat esokkan?"
"Hari ni, kak. Saya dah tulis dalam emel ,nak jam 2."
"Iya ke? Eh! Tak ada tulis pun."
"Betul, cuba akak buka emel semula."
Hemmm...memang tak sempat nak buka emel.
"Macam mana ni?" Suara Arjue yang gelisah itu buat dadaku berdebar. Macam mana ni? Pekan ke Kuantan jarak waktunya 45 minit. Kalau bawa kek, tentu saja perlu berhati-hati; waktu perjalanan akan menjangkau 1 jam. Suamiku pula mesyuarat petang ini. Aku tidak boleh pergi kerana ada kek lain yang menanti.
"Jam 2.30 boleh tak?"
"Jam 3.00."
"2.30 lah, kak."
"Jam 3.00. Cikgu masih di sekolah."
Sebaik sahaja talian hp putus, tubuhku gementar. Arjua membuat pesanan dua hari sebelum majlis harijadi anaknya, Zulaikha. Waktu dua hari itu, aku melangsaikan dekorasi kek-kek yang lain. Aku hanya punya waktu lebih kurang empatpuluhlima minit untuk melangsaikan kerja mendeko dua biji kek Arjue. Semua kek telah aku frosting dan set di dalam chiller. Kuhela nafas panjang-panjang, memujuk diri agar bertenang. Segala plan design yang telah kurancang terpaksa kutolak ke tepi. Design dalam waktu yang mendesak ini perlu ringkas sahaja.
Siap design, dadaku kembali berdebar. Ya Tuhan! Dapatkah aku menulis dengan baik, dengan piping bag, atas kek? Fuhh! Aku memilih kek yang kecil terlebih dahulu. Alhamdulillah, rasanya tidaklah memalukan. Tetapi untuk kek yang berbentuk buku itu, jari-jariku menggigil. Suami telah pulang tetapi kek belum siap. Aku menulis sambil memujuk suami agar menghantar kek waktu itu juga. Dia sentiasa memahami, menolak kerja-kerjanya ketepi kerana sikap semulajadinya yang memilih untuk menjadi orang yang cukup mengerti.
Petang itu, Arjue girang menelefonku. Aku memohon maaf kerana tidak berhati-hati membaca emel. Barangkali mata terlalu mengantuk memberontak ingin mencari bantal tetapi aku masih gagahkan juga melayari internet hingga emel Arjue itu kubaca lompat-lompat katak sahaja.
"7 September ni, saya nak order lagi, untuk anak juga. Tulisan mesti tulisan jawi!"
Aku tersenyum mendengar suara Arjus di hujung hp. RAsanya diri ini tidak akan menggigil lagi menulis jawi di atas kek, telah ada keyakinan diri. Terima kasih Arjue kerana mencabar diri ini!



View complete fotopage


© Pidgin Technologies Ltd. 2016

ns4008464.ip-198-27-69.net