Zati D'hati Fancylicious Cakes

By: amaruszati noor rahim

[Recommend this Fotopage] | [Share this Fotopage]
[<<  <  1  2  3  4  [5]  6  7  8  9  10  11  12  13  14  15  >  >>]    [Archive]
Sunday, 14-Sep-2008 07:13 Email | Share | | Bookmark
PILU DI SUBUH RAMADHAN

Aku didesak naluri menulis kisah ini ketika pilu mengasak dinding hati. Aku cuba memasukkan entry lain tetapi jari tidak laju menaip sedangkanmemori pula disuguh peristiwa yang kuhadapi di wad 3A Hospital Pekan Akhirnya aku memutuskan meninggalkan entry lain terlebih dahulu.
Berbeza dari hamil yang lalu tidak pernah ada masalah kesihatan, kali ini aku diuji GDM - diabetes ketika hamil. Meskipun terlibat dengan dunia kek yang tentu saja berkait dengan manisan, aku bukan penggemar makanan manis dan alah kepada karbohidrat. Makan nasi selalu membuat aku mengantuk, jadi pengambilan nasi terhad benar. Dua kali menjalani BSP - pemeriksaan darah untuk mengetahui tahap glukosa-, glukosa akan naik hatta yang masuk ke perut hanyalah dua keping roti wholemeal dan segelas susu ANMUM. Akhirnya aku akur pada kenyataan hamil di ambang usia 40 tentu saja banyak risiko.
Masuk wad pada hari pertama, hanya untuk pemeriksaan BSP. Disusuli esoknya dengan suntikan insulin. Lusanya juga suntikan insulin. Tidak dibenarkan berpuasa kerana dikhuatiri hypo. Memanglah, baru setengah jam jarum insulin menusuk lengan, sudu hati rasa pedih bergulung-gulung. Tetapi pada hari lusanya, suntikan insulin itu menyebabkan glukosaku merudum meskipun telah makan berkeping roti. Muka merah dan badan mula berpeluh dan aku didesak minum air yang manis. Aku bukan saja pulang dengan hamper Ramadhan pemberian Datin Sri Rosmah, sebeban jarum untuk menyuntik sendiri tubuhku dengan tiga kali sehari insulin, tetapi juga seberkas kenangan pilu di wad itu.
Di depan katilku, seorang ibu mengandung dengan masalah darah tinggi. Di kananku, ibu mengandung 6 bulan yang mengalami sakit perut, discan dikhuatiri air mentubannya pecah. 4 katil yang lain dengan masalah ibu hamil berkencing kotor, ibu hamil diabetes, pesakit jantung dan seorang tua yang tak sempat kuberbual bertanya khabarnya. Ini adalah soal biasa kukira. Namun katil di depanku (tepatnya bersebelahan dengan ibu hamil dan berdepan dengan ibu mengandung sakit perut), ada seorang wanita terlantar dijaga anak lelakinya.

Leher atau dadanya nya ditebuk (mengingatkan aku pada mendiang ayah mertuaku mengalami masalah yang sama - tentu saja tidak boleh bicara lagi). aku sentiasa memerhatikannya dan sesekali aku terasa dia seperti tidak selesa meskipun kadang-kadang apabila terserempak mata, kami sama-asama bertukar senyum. Ingin mendekat dan bertanya tetapi bimbang kehadiran diri akan membuat dia makin tidak selesa.

Dia dijaga oleh anaknya Angah, masih anak-anak atau awal remaja, lelaki. Kadang-kadang datang si sulungnya, sedang remaja, barangkali menghadapi peperiksaan besar tahun ini. ada dua anak lelaki lagi, seorang masih di sekolah rendah dan seorang lagi usia tiga tahun (usia anak ini kuketahui lewat perbualan doktor dan nurse). Selama aku di wad, Angah tidak bersekolah. Setia di sisi ibunya, melakukan kerja rutin menyedut liur dari paru ibunya - kelihatan begitu cekap melakukan kerja dengan bersarung tangan dan menggunakan alat yang tersedia. Pampers ditukar oleh kedua-dua anak ini. Makan disuapi angah. Segela kehendak ibu dilayan Angah, bukan sekadar menukar chanel tv mengikut kehendak ibunya.

Meskipun di sebalik skrin langsir yang ditarik untuk menguruskan ibunya, hati kecilku tersentuh mendengar Angah berkata, "pejam mata, mak, nanti masuk bedak." Agh! Anak 13 tahun itu menukar pampers dan membedakkan ibunya. Anak 13 tahun itu bertanya di mana tempat yang sakit perlu dipicit. bertanya cukupkah sedutan yang dilakukan. Dan hatiku terhiris apabial mendengar Angah bertanya, "mak, kenapa pagi tadi mak menangis, mak?'" Ya Tuhan, tentu ibu itu menangis dalam diam-diam tetapi Angah telah menanggapinya.

Setiap jam 4 pagi , dengan isyarat kecil - angah akan dikejut ibunya. anak inilah yang menyuap makanan sahur untuk ibunya. Jam 4 pagi, aku akan duduk tercokoh di atas katil, menahan sayu melihat ketabahan remaja 13 tahun ini melayani ibu yang telah bersusah payah melahirkannya. Terdetik di hati kecil, "Kalau aku sakit terlantar pada usia begini, anak-anak masih kecil dan remaja, hendakkah anak-anak menjagaku seperti ini." Hati kecilku bergetar hiba, apalagi seringkali terlihat ibu itu memejam mata sedang pipinya yang pucat berubah warna, bibirnyamenggigil dan airmata berlinang di pipinya. Sering aku menelan liur yang pekat, menarik baju sejukku ke muka, melindungi airmata yang meleleh tiba-tiba.

apa yang bersarang dalam fikiran ibu itu? tentulah kerana dia bukan sepatutnya di situ. sepatutnya di rumah, melayani suami dan anaj-anak. Anak-anak yang seharusnya mendapat belai kasih dan perhatiannya. anak-anak yang sepatutnya riang ria bersama teman-temannya. Tentulah terasa menyusahkan orang lain. tentulah siksa melupakan segala yang pernah dilalui dan menerima hakikat hidup kini bersandarkan orang lain. Suami tidak dapat menjaganya kerana peraturan di wad tidak dibenarkan lelaki dewasa menjaga pesakit perempuan.

Sebelum pulang, aku bertemunya dan bertanya, "Sal sakit apa?"
Dengan gerak bibir tanpa suara , dia memberitahuku, " Saraf."
Aku meneguk liur. Tuhan.... aku memandang Angah, "angah, jaga mak baik-baik ya."
Angah mengangguk sedang mukanya dipekup dengan bantal. Tidak tahu apa reaksi wajahnya tika itu.
"Sal, tabah dan sabar ya..."
Dia senyum.
Apabila pulang ke rumah, tahulah cerita sebenarnya dari bibir emak...wanita itu- Sal- terjatuh di rumahnya, mengakibatkan saraf ketika si kecilnya berusia lebihkurang 6 bulan. sejak itulah suaminya berubat ke sana ke sini. kemudian dia mengalami masalah pernafasan, barangkali kerana itulah ada tebukan kecil pada leher atau dadanya - agh! aku kurang pasti. Cuma aku sempat melihat tulangnya timbul, kurus kerana penderitaan.Suaminya datang setiap petang membawa dua lagi anak. Kadang-kadang datang pada tengahari sambil mengusiknya - ada secarik senyum yang payah pada wajah Salmenerima gurauan suami. Aku sering menelah, suami itu mengurung sekian kesedihan melihat penderitaan isterinya kerana tidak mahu iaterinya berdurja, mengajak isterinya tabah hadapi segala. tetapi sebaik saja kakinya melangkah keluar dari wad itu, bagaimanakah dia? Kepada Sal, suami dan anaj-anak, semoga tabah menghadapi ujian ini.
Begitulah hidup... ketika kita menganggap kita diuji, ada orang lain yang lebih hebat diuji. Kita sering rasa kita derita tetapi ada orang yang lebih derita. Sesungguhnya, ujian untuk setiap umatnya meski apapun sukatan tahap ujian itu, matlamatnya tetap sama - untuk menguji keimanan kita.
Tak ada mood nak masukkan gambar tetapi takkan entry ini kosong sajakan...
__________________________________________________




Bab masak lauk pauk, aku main campak-campak je.... Ini resepi ayam bakar yang tak ikut sesapa. Resepi aku sendiri. Perturunkan resepinya di sini...
macam biasa tak ada sukatan... aku suka lebihkan lengkuas dan serai... suka makan dengan nasi atau roti bahan perapannya ini...

AYAM BAKAR ZATI D'HATI

- 1 ekor ayam
- bahan-bahan dimesin basah:
bawang besar
halia
serai
lengkuas
cili kering
** mesin dengan air yang sikit. Masukkan bahan yang hendak dimesin sikit-sikit supaya tidak banyak air digunakan. Nak bahan-bahan ini dimesin pekat
bahan-bahan dimesin kering:
ketumbar
jintan manis
jintan putih
bahan-bahan lain:
gula melaka dimasak dengan sedikit saja air - untuk tujuan hancurkan gula saja**siapa yang rajin nak racik halus-halus, silakan. Tak letak madu sebab manis gula melaka punya rasa tersendiri...
garam
kunyit
sikit kicap pekat
sikit kicap tiram
sikit pes asam jawa
*** perap ayam ni dengan semua bahan satu malam. Sehari semalam pun tak apa. Lagi lama diperap lagi sedap, tapi masuk dalam chiller.
Pas tu? Pas tu bakar je lah... Kalau nak percikkan dengan minyak menggunakan batang serai, silakan. Aku tak percik-percik dah... cukup dah minyak ayam keluar... tengah ngandung ni, kalau makan yang berminyak, bila senadawa jadi tak sedap tekak je...

Bawah ni pula, buah tangan Qayyum... hari terakhir puasa bersamanya, sempat dia bakarkan kambing tapi tak sempat buatkan sos lada hitam. Cecah sos lada hitam LIFE saja.... terima kasih Qayyum. Nak lagi
Alim yang pulang minggu ini bertanya, "Qayyum tak balik ke?"
"Tak. Tak balik. Raya pun tak balik."
"Kalau Qayyum balik, Alim nak makan kambing bakar dia..."
"Tak apa. Umi buat."
"Umi kan penat. Tak payahlah."



Monday, 8-Sep-2008 02:41 Email | Share | | Bookmark
MASAKAN SUPERB CHEF 2 B

Kata mamasya, bukan nak tengok gambar pinggan tapi nak fokus pada masakan. Sebenarnya selama ini tidak mesra kamera tetapi kedatangan Dalea ke Pekan memberi ruang untuk aku mesra camera, sikit-sikit. Jadi dapatlah aku ambil gambar makanan pada jarak dekat dengan terang (walaupun tak seterang gambar dari kamera lea). Apabila dah fokus dekat, dapatlah sembunyikan pinggan cap ayam yang aku gunakan.

Qayyum hanya pulang dua hari, itupun kerana pujukanku. Sementara menanti hari masuk latihan kerja di Park Royal yang berbaki 3 hari, aku menggesanya pulang. "Baliklah, boleh buka puasa sekali," pujukku memandangkan AidilFitri dia tidak dapat pulang.

Selama dia kuhantar belajar di Sugar Craft Academy, tak pernah sekali rasa air tangannya. Apabila aku minta dia masak, jawabnya mudah saja, "Qayyum balik nak makan masakan umi." Kata-kata itu buat aku kalah. Tetapi Ramadhan ini aku memujuknya, "Umi nak makan ayam panggang, nak yang yum belajar. Hantar belajar masak, takkan tak boleh masak untuk umi."

Qayyum tersengih. "Kalau nak resepi yang yum belajar, tak boleh. Resepi campak-campak boleh. Test skill."

Tak kisah... campak-campaklah. Aku pun selama ni campak-campak je. Anak-anak membesar jugak dengan masakan campak-campak. Tak sempat nak bersukat.

Yuk, kita tengok Qayyum di dapur di bengkelku. Semenjak operasi berpindah belum selesai, masa kami banyak di bengkel.Aku gelar Qayyum Superb Chef To Be. Siap aku buatkan satu blog superb chef to be tetapi stail belajar academy, tentunya padat dan dia tak sempat masukkan walau satu entry pun ke dalam blog itu. Melihat gambar-gambar culinary art dalam laptopnya, aku membayangkan andailah dia punya waktu memasukkan gambar-gambar itu ke dalam blog yang kubina itu, alangkah.....

Inilah superb chefku, sedang melayani kami semua makan. Rasanya inilah pertama kali rempah barat masuk ke perut mak dan ayahku. "Macamana mak, ayah? Ok tak?" Risau emak ayah tak boleh terima rempah barat.
"Ok. sedap."
Tak payah jawab pun tidak mengapa kerana laju saja ketul-ketul ayam bertambah masuk ke pinggan.



Meh, kita tengok foto close up gambar ayam panggang resepi campak-campak Qayyum... ayam ini diletakkan di atas hirisan carrot dan batang saleri. Katanya, lapisan di bawah ayam ini dipanggil mehua (betul ke ejaan aku nih )...



Nak tau resepinya? Nih...tanpa sukatan...

Ayam Herbs Superb Chef To Be
- 1 ekor ayam diperap dengan
- bawang putih
- lada hitam- pecah kasar
- paprika
- rosemary
- oregano
- sos l & p (lea & perrins)
- garam
- serbuk perasa kalau suka

Bahan mehua: hirisan nipis carrot, batang saleri

Glaze: jus lemon
sunquick
madu
mayonnise (jika suka, dicampur kemudian untuk bakaran akhir , agak-agak dalam 10 minit sebelum masak sempurna)

Sayur hiasan: capsicum tiga warna
carrot
brokoli
timun hijau
tomato cherry
kacang peas
bawang putih
- segala sayur mayur ni dipotong besar.
butter

Cara:
1. Bersih dan basuh ayam, toskan.
2. Perap.
3. Bakar 10-15 minit. Sapu glaze.
4. Ulang proses bakar dan sapu glaze ini tiga empat kali.
5. Kemudian bakar lagi. (Qayyum bakar dalam oven dan uji dengan termometer sehingga dapat suhu 80 darjah. Tapi katanya nak cepat bakar dalam microwave. Aku cuba buat setelah dapat panduan dari Dalea - hanya 30 minit dengan kuasa micro)
6. Kalau suka, masukkan mayonis ke dalam campuran glaze dan sapu glaze terakhir, kira2 sepuluh minit sebelum masak sempurna
7. Sementara itu, panaskan butter, tumis bawang putih dan lada hitam kasar, masukkan sayur-sayuran. Tak perlu masuk air. Tak perlu lama, sebentar sahaja. (Sebenarnya Qayyum ingin masukkan rosemary dan oregano tapi bimbang tekak datuk nenek menolaknya, dimasukkan lada hitam kasar saja.)

OK.... kemudian ada pencuci mulut. Qayyum buatkan. Dia masukkan sagu yang siap jernih masak ke dalam bekas menggunakan piping bag. Katanya susah nak cedok dengan sudu. "Piping bag ada, kita guna piping bag. Piping ni bukan untuk whipping cream je umi." Qayyum tersengih. "Senang, tak sememeh," tokoknya lagi. Gasaklah Qayyum. Janji umi tak penat di dapur dan dapat makan masakan anak yang kuhantar ke akedemy bermodalkan kepercayaan, harapan dan yuran RM15 tidak termasuk sara hidup yang semuanya datang dari hasil jualan kek.



Puding sagu ini tak payalah turunkan resepinya kat sini ya. Sonang jo...hehehe

Untuk Qayyum - ini hari pertamamu di Park Royal. Berlatih, bekerja dengan kesungguhan, kekuatan mental dan fizikal, kuat semangat tidak kalau kepada cabaran, berkelakuan bersih, yakin kepada diri sendiri, yakin kepada Tuhan, ingat bismillah pada setiap kali mula melangkah, ingat pesan Rasul dan tuntutan Allah. Doa putih dan harapan murni seorang umi seorang abi mengiringi langkahmu.... AMIN.


Thursday, 4-Sep-2008 06:51 Email | Share | | Bookmark
RAMADHAN DAN KELAS CHOC DECO

SALAM RAMADHAN BUAT SEMUA PENGUNJUNG, TEMAN-TEMAN, PROTEGE YANG BERAGAMA ISLAM. SEMOGA RAMADHAN INI KITA SEMAKIN TABAH MENAMBAH IBADAT UNTUK KEAMPUHAN IMAN. DI SAMPING MENGISI RUANG UNTUK DUNIA, AKU MENGAJAK DIRI SENDIRI DAN TEMAN-TEMAN, MARILAH KITA MENGISI RUANG BERIBADAT DAN BERDOA KERANA MALAIKAT-MALAIKAT MENGAMINKAN DOA KITA, BULAN TERSENYUM, BINTANG KERDIP MENGERDIP MELIHAT DOA KITA MEMANJAT TANGGA LANGIT DAN AMALAN TERISI DI BUKU PUTIH. AMIN.

Waktu bercinta, waktu bagaikan siput, terlalu lambat rasanya ia mengengsot. Tetapi kini waktu begitu pantas berlari, aku menghambatnya seperti tidak cukup tapak kaki. Stamina perlu cukup apalagi pada saat ini, perhatian bukan saja pada yang nampak di mata tetapi juga pada yang bersemayam di kantung rahim. Kadang terselit rasa bimbang pada 'yang sedang bersemayam', bimbang anakanda letih mengikut kerenah bonda. Tapi sering kubisikkan, "anakanda mesti kuat seperti bonda. seperti bonda tidak boleh kalah, anakanda juga jangan mengalah." Dan kemudian doa putihku memanjat tangga langit, menyerahkan segalanya kepada Ya Rabb.

Fp ini bersawang, kotak email tidak sempat dijengah, sapaan ym tidak sempat berbalas. Maaflah. tempahan biskut juga kutolak.Operasi pindah dari small bakery ke bengkel masih belum selesai sepenuhnya. Bosan sebenarnya melihat operasi tak berkesudahan tetapi hendak bekerja terlebih kuat selalu saja teringatkan pesan doktor - jangan kerja kuat, akak dalam high risk. Alahai...

Entry kali ini gambar daripada dua kelas choc deco. Kelas pertama dihadiri Farah - pensyarah Shahputra, Eezah dari Beserah, Eeleya dari Kuala Lumpur dan Yat, tauke dari Bandar Sri Damansara Kuantan. Gambar ini kugabungkan sekali kerana cepu minda tidak mengingati sentuhan siapakah semuanya ini. Cuma yang dapat kuasingkan - choc banana sentuhan Eeleya kerana tataannya berlainan. Itupun disebabkan untuk mudah dibawa pulang naik bas.

Hasil daripada kelas ini, maka aku memutuskan sesiapa yang hendak mengikuti kelas choc deco mestilah ada asas dalam deco buttercream. tentulah aku punya sebab menetapkan peraturan begitu.

Yuk.... kita lihat hasil tangan anak dara dan mak dara ni...









Inilah empat sekawan - fara, eezah, elleya dan yat.... sempat berposing sebelum pulang. Usaha jangan terhenti setakat ini ya... teruslah berlatih melembutkan jari dan mencari psaran... selamat berjaya untuk anda berempat.

Foto dibawah ini pula rakaman kelas yang menyusul selepas itu. Dihadiri oleh pelajar yang pernah mengikuti pakej 2 dan 3. Kembali semula ke bengkel setelah dua tiga minggu pulang ke negerinya. Atas sebab-sebab tertentu, fotonya tidak disiarkan. Begitulah kehendak tuan punya badan. Apapun, good luck, jangan takut pada cabaran dan iri manusia.





Banyak gambar yang belum dikongsi bersama, insyaAllah dalam Ramadhan ini akan kumasukkan ke dalam entry. Nak masukkan gambar makanan, tak ada pulak pinggan yang cantik-cantik. Ada pinggan ayan dan plastik je muahahaha


Tuesday, 26-Aug-2008 02:43 Email | Share | | Bookmark
BIRU - SEJUK MATA MEMANDANG

"Kak, saya nak tempah kek hantaran. Tak kiralah kek apapun. Temanya biru."
"Biru macam mana?'
"Biru kain budak sekolah menengah."
Aku membelek botol-botol warna yang ada dalam simpananku. Ada royal blue, sky blue dalam bentuk liquid. Sedikit titisan royal blue dan sky blue tidak akan menghasilkan warna biru kain sekolah menengah, tepatnya biru laut. Mak aii, mana nak cari warna biru laut di Kuantan? Semua koleksi warna aku beli di KL, sama ada di Bake With Yen, Pastry Pro atau Wilton. Aku dah melengung memikirkan macam mana nak dapatkan warna biru laut itu.
kenapa tidak cuba tengok warna paste dalam simpanan? Tiba-tiba terdetik begitu. Mahu tak mahu, selongkar jugalah satu demi satu warna paste yang jarang kugunakan. Alhamdulillah, tertemu sebotol paste colour blue aqua. Tak henti-henti bibir mengucap terimakasih, Ya Allah, terima kasih ya Allah.
Kek ini kuselesaikan ketika 18 biji kek menanti untuk dideko. Dah tak nampak sebarang design. Tak sempat nak online menari gambar-gambar kek lain untuk dijadikan panduan. Ketika jari-jari ini mencari noozle yang sesuai, terpegang noozle cap ayam no 17. Bukaan bintangnya sedikit berbeza dari wilton. Masa suntuk, kek berderet menunggu, aku tidak punya waktu untuk berlama-lama smooth aising. Picit star sajalah, detik hati, sementelahan pula aising cukup konsisten. Maka kupenuhkan seluruh kek itu dengan star, susunan rambang manik silver dan aturan ros jatuh sedikit berjuntai. Daun pula - kubancuh aising putih dengan sedikit biru aqua. Stail aku membancuh warna , jarang sekali aku membancuh arna hingga sebati. Aku membancuh hanya sekadar berbaur. Siap. Sekejap saja dan hatiku puas. Warna biru, salah satu warna kegemaran pada deretan pakaianku buat mataku ikut tersenyum, bukan sekadar bibir. Bagaimana mata tersenyum?



(AKU INGIN MASUKKAN GAMBAR KELAS-KELAS YANG BELUM SEMPAT KUMASUKKAN SEBENARNYA TETAPI ADA PULA EMEIL YANG DATANG KOMPLEN - NGAPA AKAK JARANG-JARANG UPDATE HASIL TANGAN AKAK SEJAK AKAK BUAT KELAS? JADI ENTRY INI MEMEMNUHI PERMINTAN SI PENGIRIM EMAIL.)


Wednesday, 20-Aug-2008 00:32 Email | Share | | Bookmark
KESIBUKAN YANG MENYEMPITKAN RUANG MELUASKAN PINTU REZEKI

Kesibukan yang menyempitkan ruang meluaskan pintu rezeki untuk aku membantu suami menjana hari depan anak-anak. Kelas, tempahan, hadiri kelas, hadiri temujanji di klinik ibu, penuhi cuti di pd bersama anak-anak - semua itu buat waktu terasa sempit dan padat. sedar tidak sedar hampir sebulan fp ini tidak update.
Ketika bertemu Kak Ton Boxhouses dan Zana dalam satu pertemuan terancang, kami bertukar-tukar kamera, melihat kerja tangan yang kami hasilkan.
"Banyaknya yang kau belum masukkan dalam fp."
"tak sempat," itu jawapan jujur yang dapat kuberikan. dapat membuka emel untuk semak order dan permintaan kelas pun sudah satu syukur meskipun pada jauh malam merangkak ke pagi.
Hari ini, entry ini tidak dapat kutulis panjang. Kami di dalam episod perpindahan. Memandangkan bakery kecil tempat kerjaku beroperasi terlalu sempit untuk kerja-kerja mengadun, membakar dan mendeko sehingga kerjanya beranjak ke ruang makan dan ruang menonton bawah, menjadikan rumah terlalu sempit, aku dan hubby sepakat memindahkan tempat operasi ke bengkel tempat kami membuat kelas. Ruang yang luas itu lebih memudahkan kerja kami cuma suhunya lebih panas berbanding small bakery, sedikit tidak sesuai untuk kerja mendeko. Namun kami telah memutuskan agar memperuntukkan satu bilik untuk kerja mendeko dilengkapi dengan penghawa dingin. Operasi perpindahan ini tentu saja memakan waktu, namun kepulangan Amsyar, Qayyum dan Alim sedikit sebanyak membantu perasi perpindahan ini.
Untuk enrty kali ini, tuk...kita jamu mata dengan kerja pensyarah UITm Kuantan, Farah (http://darlingsweetheartcakes.blogspot.com). Farah mengambil kelas fondant dan gumpaste. Kelas ini sebenarnya selama 4 hari tetapi kesibukan Farah kerana kemasukan student baru ke UITM, tambahan pula tempahan-tempahan kek yang perlu ditanganinya menyebabkan Farah meminta kelasnya dipercepatkan menjadi tiga hari. Tepuk dahi juga aku kerana kelas menjadi padat dan belum tentu farah dapat menyudahkan homework yang aku berikan. Jadual memang lari jauh dari jadual asal.
Untuk stack fondant- farah dapat menggunakan bunga-bunga yang dibuatnya sendiri. Untuk kek hantaran, digabungkan bunga yang dibuat sendiri dengan bunga siap beli. Untuk fondant bertingkat, Farah awal-awal lagi telefon minta maaf berbanyak-banyak kerana kesunbtukan waktunya menyudahkan cupcake hantaran dan tempahan lainnya, dia tidak punya waktu untuk membuat bunga di rumah. Ditambah lagi dengan alasan kemasukan student dan ragam anak...
Stack fondant dan hantaran itu, fondantnya meragam. Aku menggunakan resepi fondant lain kerana resepi yang sebati dengan tanganku hilang. Ternyata ia tidak sebagus resepi yang hilang itu. Syukurlah untuk fondant tiers, aku telah menjumpai kembali resepi yang hilang itu, Syukur, ya Allah.




Ini antara bunga dari tangan Farah. Dua bunga yang di bawah itu, Farah belum berkesempatan membuatnya. Janjinya akan datang untuk bersama-sama dengan Daalea nanti. Betul ke Farah ni... Jangan-jangan sibuk lagi....hehehe

Tu dia...Farah yang kecil molek sedang telefon Dr Fahmie, buah hatinya... Tangan Farah yang kecil dan halus memang tak larat nak uli fondant. Mungkin Fahmie boleh sama-sama membantu...ehem...
Fondantnya bercorak diroll dengan roll kaca yang baru dibeli di Wilton. Teringin memiliknya tetapi bimbang dengan material kacanya. Coraknya simple, senang mata memandang.


Inilah yang buat Farah terkejar-kejar tidak cukup waktu.
Apapun, Farah.... tahniah untukmu. Bangga dengan kekentalan semangatmu.


[<<  <  1  2  3  4  [5]  6  7  8  9  10  11  12  13  14  15  >  >>]    [Archive]

© Pidgin Technologies Ltd. 2016

ns4008464.ip-198-27-69.net