Zati D'hati Fancylicious Cakes

By: amaruszati noor rahim

[Recommend this Fotopage] | [Share this Fotopage]
[<<  <  14  15  16  17  18  19  20  [21]  22  23  24  25  26  27  28  >  >>]    [Archive]
Tuesday, 6-Nov-2007 09:56 Email | Share | | Bookmark
AZZAHRA SI GADIS CILIK




DIA satu-satunya anak perempuanku. Aku sering terkesan dengan sikapnya. Dia suka pada kreativiti, suka membesarkan jiwa orang lain dengan menghadiahkan kad ucapan yang digubah kreatif atau memberi hadiah daripada bahan-bahan terbuang yang dihias sendiri. Barangkali minatku pada kreativiti mengalir dalam tubuhnya juga.
Seingatku pada usia lima tahun, dia terlalu gemarkan sambal telur rebus goring dan dia boleh memasaknya sendiri. Aku hanya menemaninya di dapur untuk memerhatikannya selamat dari segala bahaya.
Pada usia sepuluh tahun ini, dia boleh diharap untuk masak nasi, menggoreng ikan, telur dadar dan telur mata kerbau, masak sup, goreng khailan ikan masin, menggoreng mi basah (dia malas goring mi basah kerana katanya tak licin untuk dikacau-kacau). Pada ketika dia menyediakan mi hailam, adiknya Taqiuddin akan membuat sambal kicap – tentu saja dengan tudung periuk besar menjadi perisai ketika menumbuk cili padi dan bawang putih. Masakannya yang paling digemari abang dan adiknya – nasi goreng sosej. Aku sering katakan padanya, umi darjah empat dah tahu masak kuah kacang dan nasi himpit untuk mak jual di kedai. (Mak- panggilannya untuk ibuku). Aku sering cerita padanya tentang moyang yang kahwin pada usia 10 tahun, tahu masak segala. Juga tentang seorang saudara yang kahwin pada usia sembilan tahun tetapi suaminya yang masak nasi kerana dia tidak tahu masak apa-apa. Untuk mengelakkan salah faham, aku memberitahunya, “Anak-anak umi mesti belajar masak bukan kerana umi suruh kahwin cepat tapi supaya bila umi abi sakit, anak-anak umi tahu masak, tak perlu berlonggok di kedai. Anak-anak umi mesti belajar tinggi tapi mesti kenal periuk kuali.”
Bukan sekali dia merengek untuk mencuba frosting kek tetapi aku sering berkata - tunggu hari umi tidak sibuk, tunggu ada kek, aising tak cukup. Macam-macam alas an kuberikan kerana …duhai…tidak terlarat membayangkan seorang kanak-kanak bermain dengan aising, pasti berkenjah. Pada hari dia memilih untuk bergelak ketawa dengan Aznil di astro ceria, aku akan menyediakan kertas di tepinya. Dia akan menggulung kertas menjadi piping kon pada dua saiz. Itu sudah menjadi sedikit penyelamat pada kesibukanku.
3 November, dia beria-ia memujukku. Malah mengungkit, “Umi ni tahu janji, janji, janji je. Sampai bila Cece nak reti.” Sebaris ungkitan itu membuat aku kesian padanya. Terasa lenguh berbaring, aku bakarkan choc sponge mix untuknya. Untuk makanan anak-anak, aku memilih whipping krim. Lebih enak. Buttercream tolak ke tepi. Ada ceri maraschino dalam chiller. Anakanda itu hanya perlu cuba deko yang mudah saja dulu.
Aduhai…sebagai ibu, kembang hati melihat anak perempuan melepa kek. “ Letakkan krim empat lima tompok atas kek, banyak. Lepas tu, ratakan. Jangan tekan, layang-layang saja.” Ghairahnya dia. Kadang-kadang terlalu ringan dilayang seakan pisau tak bergerak. Kadang-kadang terlalu ditekan sehingga kesannya bergaris-garis. Beberapa kali aku perlu menunjukkan darjah pisah dilayang-layangkan saja di atas kek. Kemudian aku memberitahu dia mesti siapkan tanpa sentuhan umi. Pertama kali, tangan keras…Aku dulu pun terkial-kial. Nah! Gunakan sikat zig-zag, ratakan dekat atas. Dia menarik dengan kuat dan agak tertekan hingga aising yang tebal jadi banyak tertarik. Bordernya tentulah lebih susah untuk diratakan. “Bordernya jangan ditekan, nanti habuknya terkeluar. Letak banyak dan ratakan pelan sahaja.” Aku memerhati lebihan whipping. Aduh! Ada sedikit saja, macamana nak letak banyak.. Sekali lagi aku minta dia gunakan sikat zig zag lagi sebagai penyelamat tetapi tarikannya kuat hingga debu kek turut tertarik. “Cece sikat kek, umi, bukan sikat aising,” kutuk Ahmad Taqiuddin. Dia minta untuk membuat border semula tetapi whipping cream hanya cukup-cukup. Aku memujuk, “Biar macam tu. Lain kali dah tahu silap di mana, senanglah, jangan ditekan lagi. Hanya tarik perlahan saja.” Aku mengajarnya membuat swirl di atas papan kek. Hemm…tidak menjadi. “Tak apa, buat saja mana yang boleh di atas kek.” Aku menunjukkan darjah untuk membuat shell. Kadang-kadang tidak dapat menahan tawa melihat shellnya berjarak, ada pula kecil besar. “Tak apalah. Umi tahu piping masa umi 38 tahun, Azah belajar piping umur 10 tahun. Oraitlah macam ni.” Aku memujuk.
“Abi, rasa kek… ni Cece buat.” Dia menghulurkan sepotong kek kepada hubby.
“O! Macam nak jadi chef je!” Hubby mengusik.
"Aha ha ha! Cece nak jadi Chef! A ha ha!” Ahmad Taqiuddin mengutuk , tergelak besar sambil memegang perut.
“Cece nak jadi pensyarah sambil jadi chef, boleh tak umi?” Siti Fatimah Azzahra memandangku.
“Boleh. Kalau rajin, nak jadi apa pun boleh.”
“Uuuu! Uuuu! Cece rajin. Awak tu pemalas. Awak tu tahu makan je!” balas Siti Fatimah Azzahra, membangkitkan geram Ahmad Taqiuddin lalu adik terjerit-jerit mengejar si kakak berkeliling meja.
Aku teringat zaman kecilku. Cikgu Aisyah mengajar kami membuat penyangkut pasu dengan tali nylon di dalam kelas…o, aku sudah lupa caranya. Kalau ingat, pasti aku turunkan kepada SF Azzahra. Guru Quran, gemullah Mak Ngah Rahmah mengajar kait benang bulu dan tali raffia setengah jam setiap kali anak-anak muridnya selesai mengaji. Kami pergi mengaji memakai scarf benang bulu yang dikait sendiri. Budak-budak lelaki memakai kopiah, juga hasil tangan sendiri.
Siti Fatimah Azzahra melompat bertepuk tangan apabila aku beritahu hajat mengajarnya mengait. Tetapi petang esoknya hubby membawa pulang dua buah kereta control. Anak daraku itu tenggelam dalam keasyikan kereta control hingga lupa pada belajar mengait. Aku hanya membiarkan, menunggu keghairahan bermain kereta control itu hilang.

[quote]
mamazieza - memupuk minat, mama, supaya senang bila sakit pening.

lynnhassan - [Link] setuju, lynn. bila anak turut bersama kita, dia akan faham susah senang kita

mamasya - [Link] minat yang baik tu akak bantulah pupukkan.

saujana - saya diajar berhemah dan beradab. laman ini dibuka untuk promosi dan berkongsi apa yang ada. tepuk dada tanyalah selera

kamalina - [Link] harap-harapnya begitulah, kam. pssst...catatan akak memang panjang . kalau dah mula taip tu, payah nak berhenti. inipun dah berapa kali edit .

Kembara - nak tembam tak perlu makan, bau pun boleh buat tembam.
mamaleen@yahoo.com - tq kak leen...belum cuba belum tahu, kak leen. Korek-korek le bakat terpendam tu, pasti ada. caya la..

abc123 khumaira8575@yahoo.com.my - terima kasih datang menziarahiku pada hari rehat tu...

boxhousestudio boxhousestudio@gmail.com - [Link] iya, ayyuh kayuh, dong...

maisya - [Link] - ahaks! itu bermakna ada banyak faktor boleh merubah dan menjadikan sesuatu. Tahniah!


Thursday, 1-Nov-2007 12:40 Email | Share | | Bookmark
BAHAGIA PERKONGSIAN



Ini bukanlah foto kek tempahan di dalam tempoh berehat ini. Sebaliknya ia adalah foto kek cut & paste dalam salah satu kelas basic. Daripada kelas inilah aku mengetahui teknik membuat kek sponge dan butter . Sebelum menghadiri kelas ini, kek sponge bertukar menjadi kuih talam. Kek butter keras kebatu seolah tidak pecah lempar ke dinding. Dari satu kelas kepada satu kelas, dari seorang guru kepada seorang guru, kita akan mengutip pengalaman yang berbeza. Masing-masing dengan kebolehan yang tersendiri.Skill setiap guru berbeza. Modul tentulah tidak sama. Maka kerana tidak sama, maka kita akan rasa kehendak kita tidak terpenuh. Kita akan terus mencari di mana tempatnya, siapa orangnya. Kita akan terus belajar dari pengalaman sendiri, dari pengalaman orang lain.
Sekembalinya dari kelas ini, aku telah memahami ragam method sponge dan butter.Alhamdulillah. Rumusan yang dapat kubuat- setelah kita tahu membezakan methos sponge dan butter cake, teknik-tekniknya, maka insyaAllah, kita boleh mencuba resepi-resepi lainnya.

Ingin aku berkongsi resepi dan kaedah serta teknik ini. Method sponge cake. Semoga Allah memanjangkan ganjaran pahalanya untuk teacher, Beth. Pada pengunjung yang lebih arif, maafkan daku. Kalau aku tersalah, tolong tegurkan. Aku telah mengalami keadaan tidak tahu yang menyakitkan, sering ingin tahu dan tercari-cari panduan. Aku pasti ramai yang telah dan sedang mengalami penyakit ingin tahu. Aku ingin berkongsi seadanya.

Perkongsian hari ini ialah method sponge. Bagaimana untuk menguji pukulan cukup kental? Angkat pemutar dan perhatikan adunan yang jatuh. Sekiranya mudah jatuh, masih belum cukup kental. Adunan yang cukup kental - apabila kita mengangkat pemutar, ada yang akan jatuh tetapi ada segumpal yang likat seakan berkumpul pada tengah pemutar, jatuhnya agak lambat. Ataupun kita boleh menguji dengan cara mengangkat pemutar, menghayunkannya dalam bentuk apapun agar adunan jatuh ke dalam mangkuk (yakni di atas adunan yang banyak). Perhatikan, adakah ia membentuk corak yang lambat mendap untuk bersatu dengan adunan. Sekiranya corak itu tidak timbul atau mudah bersatu, maka pukullah lagi. Teacher mengajar aku teknik belah untuk mepercepatkan kental. Maksud teknik belahan, pemutar digerakkan ke tengah mangkuk, kemudian digerakkan melengkung menjadi seakan gerakan huruf D dan D terbalik. O! Aku tidak pasti penerangan aku ini jelas atau tidak.

Filipino Pandan Cake

500 g vanilla sponge mix
380g telur ditimbang tanpa kulit
150g butter/majerin - dicairkan dengan kaedah double boiler
1 tsp vanila
160ml air dikisar dengan 7 helai daun pandan, tapis

Kaedah:
1. Pukul semua bahan kecuali butter hingga kental. (Guna mixer)
2. Masukkan butter cair, sedikit-sedikit. Putar guna pemutar biasa atau spatula dengan kaedah korek dan angkat.
3. Griskan tin cake. Letak baking paper. Untuk yang belum mahir, baking paper di sebelah tepi bolehlah dilebihkan sedikit daripada tinggi tincake dengan tujuan mudah mengeluarkannya - hanya angkat kertas.
3. Suhu 160 C selama 1 jam atau lebih.
4. Setelah masak, cepat keluarkan kek dari tin cake dan letak di atas redai. Kek method sponge mudah mengecut jika dibiarkan menyejuk di dalam tincake.
5. Frosting dengan Pandan Cream.

Pandan Cream
2 cawan butter
1 cawan gula castor - dikisar dan diayak
1 cawan whipping cream
1 cawan pandan jus
Pewarna hijau jika perlu

Kaedah:
1. Pukul butter hingga halus.
2. Masukkan gula castor. Pukul lagi hingga halus/gebu.
3. Masukkan whipping cream. Pukul sebentar, kira-kira 1/2 minit.
4.Perlahan-lahan masukkan jus pandan. Pukul 1 minit.
5. Masuk pewarna hijau jika perlu.


Berkongsi ilmu ini adalah satu kegembiraan.
Hari ini juga, aku gembira kerana pesanan buku-buku telah sampai. Tidak sabar-sabar hendak membacanya. Sesiapa yang ingin membeli buku secara online, bolehlah berkunjung ke www.ujanailmu.com.my. Buku akan sampai ke tangan anda dengan baiknya kerana Ujana Ilmu sangat berhati-hati dengan pembungkusan. Aku pasti jika di saat tengkujuh sekalipun, buku akan selamat dari titis hujan. Tengok buku-buku ini.....



Paling membahagiakan aku, Nisah Haron menyertakan tanda ingatan- mini card Get Well Soon dan mini book : A Don't Sweat The Small Stuff Treasury - A Special Selection For Mothers- sehingga aku terasa hari bercuti ini amat manis. Meskipun saiz buku itu lebih kecil daripada tapak tangan, tetapi ia membawa makna besar dalam hidupku sebagai ibu, dalam hubungan kami sebagai sahabat. Terima kasih, Nisah



ummi@aqil sh.shada@yahoo.com - [Link] - kongsi sekadar yang tahu

hajar - [Link] - hanya memanjangkan ilmu, jar

amran air_1681@yahoo.com good lucuk, dik...moga bisnes kau berjaya

atiqa semoga bermanfaat hendaknya. Terimakasih, atiqa kerana ke laman ini

shada osman -bisa saja dong

Saujana - terimakasih. sebaris kalimatgmu mengingatkanku pada tiada yang lebih hampir kecuali Allah ,hampir dengan kerongkong kita

Saujana - Setiap manusia berbeza jiwa dan hasratnya.

rinnchan - bagus, rinn... saya ni bila berguru depan mata baru tahu salah di mana. Hendak mencuba berkali-kali, masa tak mengizinkan kerana banyak aktiviti. saya sudah kembali sihat, kembali menulis. sabtu ini akan keluar rumah mengembangkan sayap...ada tugasan mc

Saujana- ada dua qada' - qada' mubram, qada' muallaq. ada beberapa ketentuan yang tidak boleh disangkal oleh akal dan tangan manusia. Salam sejahtera, Saujana biar siapa pun anda.










Sunday, 28-Oct-2007 14:52 Email | Share | | Bookmark
DI MANA KEPUASAN SEBENAR?

BILA SENA KEMBALI BERBUNGA 3 - MASIH TERPAHAT HAJAT UNTUK MEREALISASIKANNYA DI PERSADA SASTERA TANAH AIR

“Boleh bercakap dengan Zati D’hati?”
“Bercakap.”
“Kak, saya nak tanya…akak ni penulis ke?”
“Kenapa?” Aku menduga.
“Akak ni penuliskan? Akak ni Amaruszatikan?”
“Iya.”
“Yeah, bestnya. Tak sangka….” Dan terdengarlah gelak Sweet Frosting yang berderai. Macam-macam Sweet Frosting ceritakan – tentang telahannya melalui catatan-catatanku di fp ini, tentang novel-novelku yang pernah dihadamnya, tentang gayabahasa dan editing, segala yang berkait dengan karya dan penulisan. Apabila aku mengajak bercakap tentang kek, Sweet Frosting membantah, “Dahlah, dah muak saya nak bercakap tentang kek. Kita cakap fasal buku, fasal penulisan akak. Bila nak keluar buku baru?”
Aku menelan air liur. Selepas Bila Sena Kembali Berbunga dan Bila Sena Kembali Berbunga 2 hangat di pasaran, aku hanya menulis novel kanak-kanak Sindiket Pengemis Cilik, Dulu Satu Kini Dua dan Kompilasi Kasih Sedingin Salju. Hajat hendak menyambung Bila Sena Kembali Berbunga 3 tergantung. Sibuk dengan banyak tugasan buat ia tergendala. Hanya penghujung disember 2006, aku berkerja keras menyudahkan Episod Cinta Di Tanah Hijrah – entah mengapa terpanggil untuk menyertai Sayembara Novel Merdeka. Sampai hari ini untung novel itu belum diketahui. Ada tiga novel terbengkalai pembikinannnya. Sebelum aku mati, hanya lapan novel sajakah yang mampu mengisi persada sastera tanahair? Tuhan, aku ingin menulis banyak lagi, pesan memesan banyak perkara lagi. Berilah aku kekuatan…



(Dua buah novel tidak terakam di dalam fp ini - Sindiket Pengemis Cilik - hilang daripada simpananku dan Dulu Satu Kini Dua - masih dalam proses penerbitan)

Keguguran memaksaku memilih istirehat. Kata seorang teman penulis dalam smsnya, Saleha Ahmad, "istirehatlah zati. Waktu sakit begini baru kita kenal nikmatnya masa rehat yang kita abaikan selama ini." Aku resah menunggu waktu istirehat berlalu. Kalaulah dapat duduk berlama-lama menulis, alangkah baiknya. Kerana berlama-lama duduk tidak digalakkan, maka aku memenuhi waktuku dengan membaca. Kata hubby, membaca adalah proses penulisan. 23-24 okt, waktu banyak dihabiskan dengan istirehat sepenuhnya. Kepala pening. Hendak memegang buku pun tiada tenaga. Bermula 25 Okt, aku menggulati buku-buku. Banyak buku yang dibeli belum dibaca. Aku ada kegilaan membeli buku. Menyelongkar rak buku, banyak buku yang dibeli di Pesta Buku PWTC tahun ini belum dibaca. Yang dilelong DBP tahun ini masih tersusun kemas. Yang dibeli di Jakarta pada Julai dan September 2006 ada yang telah dibaca, ada yang belum. Selongkar punya selongkar, tertemulah buku-buku yang dibeli di Jakarta sewaktu mewakili Malaysia ke Acara Baca Puisi Perempuan Melayu Nusantara 2002. O! Ada yang belum dibaca rupanya, masih berbungkus plastik! Aku masih ingat pada setiap kali kunjungan ke Jakarta aku menghabiskan 4-6 juta rupiah (sekitar RM1600-2400), hanya untuk buku. Dan kemudiannya aku akan demam urat kerana memikul buku dari KLIA ke stesen LRT, kemudian naik bas di Puduraya.
Meskipun ada banyak buku yang belum dibaca, untuk waktu yang memerlukan istirehat aku hanya memilih buku-buku yang sesuai dengan mood. Maka aku menyusuri ragam Mesir, terutamanya Kota Cairo mengikuti persoalan permasalahan Islam dan pengorbanan cinta dalam sebuah novel pembangun jiwa, Ayat-ayat Cinta, karya Habiburrahman El-Shirazy, sarjana Universiti Al Azhar dari Indonesia. Aku terpegun dengan genius Chef Celebriti Norzalina Nordin dalam karyanya Mimpi Terindah yang membawa aku menjelajah uniknya hidup pada tahun 2196, hubungan manusia yang hidup di bulan dan bumi . Amat membanggakan dan mampu menolak pandangan sepele sesetengah orang terhadap karya Norzalina selama ini. Selesai itu, kuratah karya Bulan Berbisik karya penulis Samsiah Mohd Nor. Laras bahasa Samsiah ternyata berubah, mampu menolak pandangan rendah sesetengah orang. Keindahan syair-syair Rabiatul Adawiyah seperti memberi jangkitan terhadap olahan cerita dan bahasanya. Aku sekali lagi menghela nafas, berbangga dengan teman penulis ini. Aku meloncat menyelami naluri penulis Singapura, Isa Kamari dalam novelnya Atas Nama Cinta dan Memeluk Gerhana. Atas Nama Cinta, sebuah kisah sejarah yang menyelami perasaan Natrah,yang pernah menjadi rebutan Melayu dan Inggeris, pernah memercikkan rusuhan, pernah menggugah mencabar undang-undang Islam. Namun aku lebih menggemari Memeluk Gerhana, kerana gaya penceritaan yang santai, cara berdakwah juga santai. Daripada kisah islamic, aku beralih kepada novel BARA, tulisan Abdul Rahim Awang. Aku meminati penulisan Abdul Rahim tetapi dengan BARA, aku terasa sedikit loya. Barangkali kerana masalah realiti yang cuba didedahkannya berkait dengan kegiatan tidak bermoral, maka hubungan seks digarapkan, meskipun tidak detail tetapi tidak sukar untuk remaja membayangkan hubungan seksual yang terjadi Penat membaca novel Rahim, aku beralih kepada Nukilan Hati buah tangan Solveif von Schoultz, penulis Finland. Kemudian aku beralih membaca Sejarah Umat Islam tulisan Pak Hamka, tidak kugulati semuanya, hanya kuhadamkan sejarah Kerajaan Islam di Andalusia dan Afrika. Kemudian berjangkit kepada pemerintahan Islam di Mesir, Syam dan Semenanjung Arabia. Terasa cip otak memberat dengan sejarah ini, otak mula terasa dahagakan karya-karya Faisal Tehrani. Faisal salah seorang penulis yang mampu membawa jiwa, akal dan tenagaku terseret ke dalam seluruh penceritaannya. Malah tidak rugi mendengar dia meluahkan kata dalam seminar. Hampir semuanya bernas dilambakkan untuk dikongsi bersama.
Sms kepada Nisah Haron, mohen emelkan senarai buku Faisal Tehrani terkini. Tenggelam dalam kesibukan dunia bakery, aku rupanya telah ketinggalan enam buah karya terbaru Faisal. Menjelajah www.ujanailmu.com.my, kedai buku online yang diusahakan oleh Nisah & Syukri. Lantaran melalui pengalaman keguguran, aku terpanggil untuk turut memesan Ensiklopedia Perbidanan Melayu. Harganya RM 145 sebuah tetapi memikirkan kandungannya sarat ilmu dan barangkali bermanfaat untuk karyaku akan datang, aku terpanggil untuk memesan ensiklopedia tersebut bersama 6 buah buku Faisal. Aku turut memesan buku Masakan Thai.
“Kenapa beli buku resepi tu? Tukang masak Thai dah ada,” komen hubby. (Hubby berdarah siam-thionghua. Mak orang siam, ayah pula berdarah cina-siam). Aku tersengih, “saja, buat koleksi.”
Kata hubby, aku bukan istirehat dalam ertikata yang sebenarnya. Tenggelam dalam arus penceritaan teman penulis, aku tidak dapat nilaikan berapa jam tidurku . Tidur kerana tertidur, bukan kerana bersedia untuk tidur dan tersedar pula terus mencari buku. Membaca karya orang lain meransangku untuk berkarya. Ada tiga novel yang tergendala kerana sibuk dengan pelbagai kerja. Aku menghela nafas, bilakah aku dapat menyambung semua kerja penulisan yang tergendala itu? Seperti dulu, aku tahu...aku tidak akan berhenti menulis. Tanyalah - yang mana lebih memberikan kepuasan - dunia penulisan atau dunia bakery. Kedua-duanya adalah kepuasan yang berbeza tetapi yang memberi kepuasan meranum adalah dunia penulisan - aku boleh menjadi sesiapa saja, aku boleh menjadikan pembaca siapa saja, aku jadi lebih memahami orang lain.Namun itu bukan bererti aku akan mengucapkan selamat tinggal kepada dunia bakery kerana inilah dunia yang memberi pendapatan segera yang halal untukku, yang masih menguji kesabaran dan kreativiti juga, masih kerja seni. Sesuai dengan jiwaku.
Syukur Tuhan kerana memilihku untuk dianugerahkan bakat seni yang mahal.

Hasil karya Hubby. Seperti diriku, hubby juga ingin menghasilkan sesuatu yang besar.

[quote] mari bersembang...
1. Lynnhassan - catatan tentang dunia penulisan ni kerana ingin berkongsi pengalaman, meluah rasa dan memenuhi update tanpa foto kek. Saya bertugas sebagai editor di Marwilis Publisher, sekamar kerja dengan Ahadiat Akashah. Cubalah membaca semula, Lynn... baik novel mahupun buku yang memberi ilmu untuk masakan, baik bahan ringan mahupun berat. Otak perlu diberi makanan... cubalah dua tiga mukasurat sehari

2. Nisah Haron - inilah hikmah dipaksa istirehat dapat kembali menggulati buku. bila sibuk dengan dunia bakery, sayang hendak membawa buku ke dapur. Waktu antara menunggu kek masak, dipenuhkan dengan mencapai apa yang patut. Tidak seperti dulu, sambil menumis boleh membaca buku. Bila nak buat kerja yang mengotorkan tangan, terpaksa tinggal...dah basuh tangan, sambung kembali. KAedah ini tak dapat digunakan lagi apabila duduk dalam dunia bakery. Tapi semenjak pulang dari Pesta Buku PWTC, aku dapat katamkan semua novel triller Ramlee Awang Mursyid. Cara bacanya - sebelum tidur, aku ikuti rentak Ramlee sehingga tertidur.

3.ummi@aqil sh.shada@yahoo.com - [Link] balik raya haji nanti jangan lupa datang rumah.appointment awal-awal, kot-kot aku beraya kat tumpat pulak

4.shema shema123@gmail.com -shema, meh datang pekan, aku signkan buku.Boleh order kek aku lagi...he he... kita jumpa kat kl pun tak apa bila-bila aku ke sana, tapi sekarang ni payah dah nak ke kl. Semua barang kek supplier hantar ke rumah. InsyaAllah, ada masa pasti jumpa

5.maisya - [Link]- maisya, terimakasih kerana jengah-jengah fp yang tak seberapa ni, terima kasih kerana menghadamkan BSKB 1 & 2. Akak sebenarnya dah apdatasi ke skrip tv (BSKB2) tapi bila orang yang nakkan skrip tu tak mahu pelakon suami isteri melakonkan watak suami isteri (Zek & Afikah), akak tak jadi kasi. Malas nak tanggung dosa pelakon bukan muhrim melakonkan watak2 tu. Simpan punya simpan sampai disketnya jem... terus akak anggap tak ada rezeki. BSKB 3? Tungguuuuuu .

6. mamasya - [Link] Dulu-dulu masa cari calon suami, antara skill yang perlu ada lelaki tu mestilah penulis, konon-kononnya nak cari orang yang boleh beri peransang dan faham penyakit penulis, supaya dapatlah akak menulis sebanyak mungkin. Tapi sebenarnya, galakan dan semangat adalah ransangan luar. Ransangan sebenar adalah kekuatan dalaman, minat dan semangat, bersyukur dengan bakat yang Allah anugerahkan. Salah satu tanda bersyukur ialah terus menulis

7.ummi@aqil sh.shada@yahoo.com - [Link] ke pekan ya.. keknya ada tapi novel- stoknya di kedai buku

8. kak jie jie - [Link] aku hanya insan biasa. jangan tinggalkan minat membaca, kak jie. yuk, satu mukasurat sehari

9. ida isk merpati66@yahoo.com - [Link] he he he, maaf, tak ada untuk pinjam. setiap judul hanya ada satu untuk kenangan.

10.rinnchan - [Link] tq, rinn... tak apalah tak melekat dengan buku, barangkali kerana banyak tanggungjawab. tapi jangan berhenti membaca. dalam novel pun ada motivasi dan kemanusiaan kerana penulis itu pemimpin, berdakwah kalau kena caranya meskipun dalam novel percintaan

11.hajar - [Link] kehilangan buat kita semakin tabah dan semakin mengasihi mereka yang ada di sekeliling kita, jar


12. cek de sam - [Link] dok di pekan, pahang. meh jalan sini. tahu membaca pun dah bagus, dah tahu nikmat

13.diba - [Link] miss you, diba...muuuah

14.nabialishad - [Link] tq, intan...kerana singgah di sini dan mengirim sms. lepas ni bolehlah akak habiskan stok makjun intan tu


15.P-nut - [Link] iya, akak dah baca keletah kesayanganmu dalam blog p-nut. Kita hanya mencuba untuk menambah zuriat percintaan.

16.Saujana: Saujana. Maksudnya jauh. Apakah engkau orang jauh?
17. kak tun boxoffice- setiap orang dah dilorongkan ke mana arahnya, agaknya... arah saya bercabang-cabang

18. wan hasniwati- sorry, akak tak ternampak komen ni... dulu ada jual di kedai koyukoniya, kedia-kedai dekat jalan tar pun ada . sekarang tak trahu. akak dah tarik hakcipta dan hantar ke penerbit lain.




Wednesday, 24-Oct-2007 13:04 Email | Share | | Bookmark
TERIMAKASIH KEPADA YANG MENGASIHI, YANG MENGASIHANI

(catatan ini kutulis ketika pasrah memilih istirehat setelah keguguran cahayamata ke 6. Anakanda yang yang pergi tetap kukasihi)

Kecil-kecil dulu aku tidak pernah bermimpi untuk menjadi seorang usahawan, apalagi dalam bidang bakery, bermain dengan cream, warna dan seni menghias kek. Di dalam rekod peribadi sekolah, aku catatkan cita-citaku menjadi doktor ataupun wartawan. Alhamdulillah, kedua-duanya menjadi nyata. Amaruszati seorang doktor? Mungkin ada yang berkata begitu bila saja membaca kalimat pengakuan ini. Ho ho ho. Aku bukan bertugas di rumah sakit, bukan bermain dengan picagari atau membuat diagnosis penyakit. Tetapi aku menyuntik pesakitku dengan kata-kata, lewat bahasa yang tersusun menjadi puisi, cerpen, novel ataupun skrip. Wartawan? Aku pernah menjadi wartawan di Karangkraf pada penghujung 80an dan pernah juga menjadi editor di Marwilis Publisher. Memang tidak pernah terlintas menjadi penghias kek.
Tetapi duduk sendirian, muhasabah diri, mengenang hari-hari yang yang telah berlalu, aku teringat bukan sekali dua aku bermimpi aku mendeko kek. Ia menjadi mimpi yang indah, yang kuingat hingga ke hari ini kerana mimpi itu datang berkali-kali. Ketika muhasabah inilah, hati kecilku berkata, bukankah Allah telah memberi sedikit petunjuk untuk aku menambah cabang seni dan rezekiku.
Aku seorang yang suka memasak. Aku pernah mengusahakan catering tetapi apabila anak-anak bertambah, kecil-kecil lagi dan memerlukan perhatian, hubby memberi pendapat agar catering dihentikan lalu bertukar kepada perniagaan stationery di samping mengusahakan gift & florist. Apabila kembali ke daerah kelahiran, perniagaan itu aku hentikan kerana daya pasaran tiga perniagaan itu aku nilaikan sebagai kurang memberansangkan. Lalu aku tumpukan sepenuhnya pada penulisan, deklamasi dan bimbingan penulisan.
Entah bagaimana Tuhan mengilhamkan jualan moist choc cake yang resepinya kuuji berkali-kali. Sambutan pelanggan memberansangkan. Mulalah ada permintaan untuk membuat kek deco. Jalan paling selamat, topping chocolate, hias dengan bunga fondant, dan tulislah apapun dengan tulisan yang `amat berseni' kerana keras tangan. Kemudian datanglah permintaan untuk kek sponge, marble dan frosting dengan buttercream dan buttericing.
Terus-terang pengetahuanku tentang membuat kek method sponge dan butter betul-betul nil. Selalu mencuba resepi dari majalah atau teman-teman tetapi kadang menjadi kadang tidak. Aku faham tentu ada ragam bahasanya yang tidak aku fahami. Aku melayari internet, mencari garis panduan. Kata sahabatku Norzalina Nordin, chef celibrity & novelis, "Teknik kek kena belajar. Kena buat pengamatan dan perhatian." Kata hubby, kalau betul-betul berminat perlulah mencari guru, belajar.
Dalam garis hidupku selama ini, tidak ada erti kata buat sesuatu kerana `main-main', `saja-saja', `suka-suka'. Aku melakukan sesuatu kerana matlamat. Aku melakukan sesuatu untuk diri, suami dan anak-anak. Aku sering berfikiran bahawa aku perlu membuat anak-anak berbangga denganku. Biar mereka tahu ibunya tiada boss, ibunya tiada di pejabat kerajaan mahupun swasta. Ibunya hanya berpegang pada SOHO tetapi suara ibunya boleh ke udara sekali sekala, boleh berada di pentas terbuka ataupun di istana, hasil tulisan ibunya ada di tv atau di radio, ada di majalah atau dalam deretan novel di pasaran. Kek? Kek ibunya juga ada di pasaran.
Matlamat bukanlah kecil. Kerana matlamat besar dan tidak main-main, aku akur bahawa perlu mencari guru selain berguru daripada buku dan website. Setiap guru mempunyai kekurangan dan kelebihan. Apalagi dalam keadaan tidak mempunyai teman-teman untuk bertukar fikiran. Teman-temanku rata-ratanya penulis dan pendeklamator. Dunia yang aku gulati selalunya adalah majlis diskusi buku, seminar sastera, pertemuan penulis, majlis baca puisi. Tidak ada langsung sumber tentang dunia kek di situ. Justeru itu tentu saja sukar untuk tahu di mana kelas dan guru yang dapat membantu.
Dengan rm yang semput-semput untuk berguru kerana wang di tangan berpusing untuk modal, menambah aset small bakery dan perbelanjaan anak, mahu tidak mahu aku cagarkan wang RM850 untuk kelas pertama. Alhamdulillah, ragam bahasa method sponge dan butter aku dapati di kelas itu. Belajar daripada kesilapan. Menjadi murid perlu pengamatan dan perhatian. Ketika guru itu menguji aku menyediakan kek method sponge, aku gagal. Guru itu sambil ketawa menyuruh aku membawa pulang kek sponge yang telah betukar menjadi seperti kuih talam akibat tidak cukup pukul dan tersilap teknik memasukkan minyak/majerin cair. Daripada kelas itu juga aku belajar bahawa mendeko kek tidak akan dapat dalam masa tiga empat hari. aku mesti selalu berlatih. Awal dulu memang terasa ingin mengalah dan selalu bertanya pada diri, "apa yang kau buat ni, Zati?". Pertanyaan-pertanyaan ini muncul apabila terasa lenguh untuk mendapatkan permukaan yang smooth, buttercream yang tidak lembik dan elok berbentuk hinggalah kepada mencuci perkakas yang berminyak itu. Perasaan negatif itu aku jungkal balikkan dengan ransangan terhadap diri sendiri, "kau mesti rajin, zati, mesti berlatih sampai kau faham ragam cream. Dalam proses belajar, mesti ada salah. kau mesti cari pembetulan untuk kesilapan tu. Kau mesti bekerja kerana minat, bukan kerana terpaksa, baru kau akan berjaya." SIkap tidak malu tidak segan untuk kebaikan, maka aku dekati Kak Mis, Lynn, Wiz, Bahtiar dan beberapa teman yang tidak mungkin tidak tersebut di sini, mencari jalan pada kebuntuan. (Terimakasih teman-teman)
Hubby, seorang yang terlalu mengerti jiwaku. Bukan sekali dua aku tergelincir melakukan kesilapan tetapi kerana sikapnya terhadapku yang tidak pernah sekalipun menengking selama berkongsi hidup (meskipun garang dengan anak-anak). Hubby menjadi penyangga ketika aku rebah, mengelus ketika aku tidak bermaya. Dia mengepung segala kemarahan jika ada, tidak ada yang terlontar lewat kata-kata mahupun pada riak muka. Hanya aku saja yang membaca makna pada cahaya matanya.
Anak-anak, aku hidup untuk mereka. Mereka memberikan aku cahaya yang menyeluruh sehinggakan saat yang berdetik dalam hidupku adalah memikirkan mereka, berbuat untuk mereka.
berdoa untuk mereka.
Selain anak-anak, aku sentiasa positif dan ingin menjadi kebanggaan orang tuaku - orang yang membawa aku membuka buka hidup, helai demi helai. Yang mencabar kekuatanku secara tidak langsung juga adalah keluarga hubby kerana aku ingin mereka juga berbangga denganku. Hubungan baik yang berhemah penuh kasih sayang dan mengasihi tanpa membezakan tali kepercayaan, pelita bangsa dan agama meransangku untuk terus mencipta kejayaan Aku juga positif kerana rasa syukurku terhadap Allah swt yang memberiku amanah, peluang dan ruang, memberi buah yang manis meskipun sering diuji diduga.
Untuk sekalian yang mengasihi, juga teman-teman yang baru kukenali serta pengunjung-pengunjung fotopages ini, aku bariskan kalimah terimakasih tidak terperi...


Lihatlah anak-anak ini... betapa takjubnya mereka ketika menyambutku pulang dari kelas asas kek & deko. Aku menghabiskan masa selama 4 hari untuk mempelajari kek dan mendeko lima kek di meja itu...

[quote] mari bersembang
lynnhassan lynnhassan@yahoo.com - [Link] rasanya akak dapat memujuk diri sendiri menerima kehilangan ni walaupun dah alami simptom hamil, dah beli baju pragnent tapi sukarnya untuk memujuk anak-anak yang dah berangan nak hadapi suasana dengan baby baru. terimakasih kerana lynn selama ni sudi menjawab emel-emel akak, sudi berkongsi penaglaman walaupun tak pernah bersua...moga lynn kian success

2. wiz - [Link] wiz... kek fondantmu tetap di hatiku, sungguh! terimaksih kerana sudi bersahabat, sudi bertukar pendapat, sudi menjawab emel-emelku. pasti suatu hari kita akan ketemu. doa agar kau berjaya , lebih berjaya, insyaAllah... kita kembangkan produk halal dri tangan muslimah

3.boxhousestudio boxhousestudio@gmail.com - [Link] kak tun kusayang, kaulah pengubat jiwa tika aku lara. ada hikmah di sebalik kehilangan dan itu bukan buat aku kecewa untuk hamil lagi. anakanak saya tak pandai berbahasa cina. suami saya sepenuhnya bercakap bahasa melayu, malah tidak suka pada bahasa rojak... payah untuk mencari perkataan bahasa inggeris dalam dialognya. dia berbahasa siam dengan keluarganya tetapi di dalam keluarganya itu ada banyak bahasa - siam, mandarin, Inggeris dan tamil. Tamil kerana biras saya India. Saya hanya tahu 'wo ai ni'...

4. Aishah sh.shada@yahoo.com - [Link]- terima kasih aisyah... doa-doamu putih bersih harum mewangi

5. chepah75@yahoo.com - [Link] chepah, kita sendiri yang membentuk diri kita, bukan orang lain. kalau orang lain memberi dorongan tetapi diri sendiri tidak berminat dan tiada semangat, pati tak akan menjadi. Tapi akak tahu cepah ada minat, ada semangat. kekuatan ada dalam diri, cari dan gali dan gali...

6. rinnchan - [Link] tq, rinn. lama saya tak menjengah fp rin... tak dapat duduk berlama-lama. Tq kerana sering beri peransang, semangat dan doa. saya tidak tahu saya hamil, jadi saya pergi cabut gigi, sakitnya berlarutan berminggu-minggu, jadi banyaklah ubat yang saya makan. doktor kata ubat-ubat tu menjadikan janin tidak stabil dan dia pun pergi....

7.Nisah Haron nisah.haron@gmail.com - terimakasih NIsah. Sebaris kata-katamu menyebabkan aku mendapat rawatan sebenar untuk kehilangan ini

8.mamazieza - "oi, aku ingat aku je kantoi, engkau pun kantoi juga."
"Oi, kita kantoi cium dek nyamuk, bukan kerana buat kek." Dan kita sama-sama ketawa.
Terimakasih call aku, mama...nanti aku pi penang cari engkau ek. Penang tulah satu-satunya negeri yang aku tak pijak lagi.


mamasya - [Link] benar, mama. susahnya memujuk anak-anak yang dah berangan nak dapat adik. ahmad taqiuddin, anak kecil akak sebelum ke sekolah, cium perut akak. bila dah keguguran, mukanya berubah setiap kali lepas cium pipi. agaknya teringat adik-adik yang hilang. Ditinggalkan sebaris pertanyaan yang menyentak, "Bila boleh dapat adik baru semula?"

kamalina - [Link] hai, orang temerloh. dah contact kak rikha ke? lama kita tak bersembang maya ya







Thursday, 18-Oct-2007 03:08 Email | Share | | Bookmark
JABAT DOA-DOA KITA DI AIDILFITRI MULIA

Kukira tidak terlewat untuk mengucapkan kalimah-kalimah ini:
Salam aidilfitri mulia. Mohon maaf silap salah, mohon halal segala rasa. Jabat doa-doa kita, agar silaturrahim ini berpanjangan kekal. saling percaya, saling memberi makna, dalam minda dalam jiwa.

Daripada:
AMARUSZATI NOOR RAHIM
MOHD AZLI LEE ABDULLAH
M. HAFID @ QAYYUM
M. AMSYAR
ABDUL 'ALIM
SITI FATIMAH AZZAHRA
AHMAD TAQIUDDIN




[quote] mari bersembang:
salam dek...boxhousestudio boxhousestudio@gmail.com - [Link] kujabat doamu, kanda, dalam riang dan sendu

Noor Rikha rikha_mie@yahoo.com - saya gembira kerana akak dah semakin gagah melangkah. Buatlah fp pulak, boleh saya saksikan kerjangan akak

cek de sam - [Link] tak terlambat, terima kasih, cek de...

Ji lavender2905@yahoo.com. Terima kasih dan salam perkenalan, Ji Lavender. Membaca nama pengirim ni, saya terasa segar. Lavender adalah haruman kesukaan saya. Andai mencari mandian hinggalah kepada minyak aromaterapi, saya pasti mencari yang ada sentuhan lavender . Saya tidak teringat kisah dalam 'Dan Aku Pun..." Salinannya juga hilang kerana kerap benar berpindah randah . Senang-senang jengahlah laman yang tak seberapa ni lagi.






[<<  <  14  15  16  17  18  19  20  [21]  22  23  24  25  26  27  28  >  >>]    [Archive]

© Pidgin Technologies Ltd. 2016

ns4008464.ip-198-27-69.net