Zati D'hati Fancylicious Cakes

By: amaruszati noor rahim

[Recommend this Fotopage] | [Share this Fotopage]
[<<  <  6  7  8  9  10  11  12  [13]  14  15  16  17  18  19  20  >  >>]    [Archive]
Sunday, 10-Feb-2008 03:28 Email | Share | | Bookmark



Sunday, 10-Feb-2008 02:18 Email | Share | | Bookmark
GONG XI FA CAI

(Ketika teman-teman membaca entry ini, aku bertugas sebagai fasilitator Program Penghayatan Sastera & Budaya di Kem Lake Chini Resort 11-13 Februari. Internet tidak dapat akses. Sesiapa yang mahu membuat order, terus saja ke hp ku. Panggilan atau sms no 017-9427033. Harap maklum!)



Dari tahun babi melompat ke tahun tikus. Kepada ama, ipar duai, saudara mara hubby yang mesra dan akrab menerima kehadiran diri, kepada teman-teman dan pengunjung-pengunjung fotopages Zati D'hati Fancylicious Cakes yang menyambut perayaan tahun baru cina, kami sekeluarga mengucapkan GONG XI FA CAI.

Arjue yang selalu menempah kek dengan tulisan jawi, kali ini menempah untuk tahun baru China. Khusus untuk diberikan kepada rakan-rakannya. Nasib baik dia tidak minta aku buat tulisan Cina. Kalau tidak, menggigillah jari jemari ini...

Tiga biji Moist Chocolate Cake dengan design berbeza. Kek ini bukan dibuat pada hari perayaan tersebut tetapi dua hari sebelumnya.

Meninggalkan kebiasaan hiasan deco, kali ini aku memilih noozle nombor 2 dengan gerakan menggetar membentuk ranting sakura. Noozle star pula kugunakan untuk membentuk bunganya. Yuk jamu mata!



Masih dengan design sakura.... Hello! Kek-kek ini kecil sahaja. Saiz 7 inci... tak apatlah nak banyakkan ranting sakuranya. Kalaulah kek ini besar, seronoknya menghias...



Yang di bawah ini pula... sakura tidak berbunga lagi hanya menggunakan swirl merah dan gulungan coklat. Ta ra ra...



Demikianlah rakaman pada perayaan tahun baru cina ini.



Hati teringatkan `kong kong' - panggilan anak-anak untuk mendiang ayah mertuaku. Telah hampir 15 tahun ayah tiada. Kalau dulu setiap kali pulang, aku dan ayah sering berbual sambil mengadap ke bendang. Akrabnya kami sehingga sehari sebelum dia meninggal, aku bermimpi dia datang. Ketika itu dia mendapat rawatan laser di Kuala Lumpur. Setelah sama-sama merawatnya di Hospital Kota Bharu, kami pulang dan ayah diterbangkan Kuala Lumpur. Hubby merancang mencari cuti yang agak panjang.
Dalam mimpiku, ayah datang dengan baju putih. Kata Ayah. "mu tak beri ayah makan."
"Mak dan Mek Nab (nama gelar untuk adik iparku) kan beri ayah makan."
"Ayah nak mu beri ayah makan."
"Nanti Ti datang. Sehari dua lagi. Ayah makan dengan mak dan mek nab dulu."
Ayah berpusing, merajuk dan melangkah.
Aku terjerit-jerit memanggil ayah. Tetapi ayah terus pergi, hilang tidak berpaling sehingga tubuh yang dibalut baju putih itu tidak meninggalkan setitik bentuk pun lagi.
Ayah benar-benar pergi 24 jam selepas mimpiku. Tangisku lebat kerana aku amat akrab dengan ayah. Kami seperti sahabat yang memahami. Tika ayah merajukkan sesuatu, aku jadi serba salah kerana aku tidak mahu secuit pun mengguris hati ayah tetapi ama menjadi penenang resahku. Kata ama, "alah, ayah tu, merajuk macam budak-buak, sekejab je tu." benar seperti kata ama, rajuk ayah hanya seketika. Dia akan mencariku setelah rajuknya hilang dan gembiraku bukan kepalang. Sahabatku seperti kembali dan kami kembali menyambung keakraban.
Dia membawa segala kemesraan itu pergi tapi tetap berkesan di hati sehingga berbekas rindu jauh di sudut kalbu.


Thursday, 7-Feb-2008 00:53 Email | Share | | Bookmark
OPERA CAKE LAGI

Saat menyiapkan tempahan moist horlick untuk suasana cuti Tahun Baru Cina, ton hp berbunyi. Aku menjeling sekali melihat skrin hp. Hem, panggilan dari Encik Farid. Kubiarkan saja kerana waktu memang suntuk benar. Sebenarnya aku terlupa stok horlick habis. Perdu pagi, ketika menunggu Amsyar yang pulang dari Tanah Merah dengan bas ekspress, hubby pusing satu Kuantan mencari kedai runcit yang buka 24 jam. Puas pusing Kuantan, dapatlah 1.8 kg horlick dengan harga terkini RM 36. Setelah anak-anak ke sekolah, membahagi-bahagikan penghantaran tempahan simple choc moist & seribu cupcake tanpa deco, aku membancuh moist horlick.
Ton sms pula berbunyi. Dari Encik farid, "Kak, kat mana tu? Angkatlah telefon ni sekejab."
Aku tersenyum. Apa hal pula farid pagi-pagi ni? Ada kerja pembetulan lirik pula ? Segera aku membalas - tengah buat kek, malam tadi tak tidur langsung. Sms ini tentu saja dengan harapan Farid akan faham dan tidak meminta aku memikirkan tentang lirik lagu untuk projek album gamelan kotemparari, nyanyian Amy Search.
Ton sms berbunyi lagi. Dari Farid juga, "Kak, sempat tak buat kek untuk staf saya? Dalam jam tiga?"
Fuh! Oven kosong tapi hari ini cadangnya hendak mengemas kabinet. Kabinet sudah siap. Barang-barang yang berselerak perlu disusun atur.
Belum sempat aku membalas smsnya, Farid sms lagi, "Kak, bolehlah ya? Please, kak, please...."
Malas bersms lagi, aku menelefonnya. "kak, awak ni sms tak ada sastera langsung. Main ngapa, ngapa je." Komen Farid itu membuat aku tergelak. Sibuk, mana sempat nak sms buat ayat berbunga. Namanya pun sistem pesanan ringkas.
Permintaan Farid kali ini - carrot cake. Mujur ada carrot di dalam peti ais.
Menangani kes adhock order, perlu pantas bekerja. Kek yang sudah suam-suam kuku, aku masukkan ke dalam chiller supaya sejuk di bahagian dalamnya cepat nyah. Jika tidak sejuk dengan sempurna, frosting akan cair pula.
Sambil-sambil menunggu kek sejuk, aku membancuh 4 biji african marble cake untuk tempahan esok. Kemudian memutar cream cheese untuk frosting carrot cake.
Hanya ada kurang setengah sebelum 3.30 petang, waktu untuk carrot cake ini sampai ke Muzium Pekan. Maka designnya simple saja...



Ketika menyiapkan order Farid inilah, aku teringat ada tempahan-tempahan Farid belum kusimpan ke dalam galeri fp ini. Yuk, jamu mata. Ini tempahan Kek Opera untuk birthday Farid Januari lalu. saiz 14"X14". Harga? Farid call - kak, sedap sangat, memang berbaloi. Harganya berpatutan. Agh! apa yang lebih membahagiakan seorang cake decorator yang cuba memeriahkan hari-hari istimewa orang lain selain maklum balas yang menyenangkan.



Pada hari membuat tempahan kek opera farid ini juga, ada tempahan opera cake dari Nazalia, Kuantan. Sais 7 X 14". Harganya separuh daripada harga kek Opera Farid, tambahan lagi Rm 20 untuk caj penghantaran. Sms Nazalia - kak, bestnya. Betul kata akak, sekali gigit je mesti nak lagi, nak lagi... nanti nak order lagi ek.



Yang di bawah ini pula, adhock order Farid untuk teman baiknya, Jat. Rich Moist Choc Cake dengan lapisan almond choc ganache di tengah-tengahnya, disaluti topping chocolate, dikelilingi badam dan sedikit buttercream warna gold tua. Ditulit di atas plate bar cooking chocolate. Ini pun memuaskan hati Farid, maklumbalas yang kuterima lewat smsnya.



Yuk! Imbas kembali kek opera tempahan pertama Farid... lihatlah lelehan coklat yang menggoda itu...



Kek opera tempahan farid ini telah menggoda Aishah (ummiaqil) di Jepun hingga pulang ke Malaysia, terus menempah Opera Cake. Lihat lelehan coklat dengan tempelan mudah white coklat.



Ada sesiapa yang terliur melihat Opera Cake? Ada yang berhajat nak hadiahkan pada buah hati di Kuantan, Pekan, Maran, Rompin, Muadzam Shah, Chini, Kemaman? Atau ada yang tinggal di Kl tetapi teringin nak rasa Opera Cake Zati D'hati? Ha...kalau yang duduk di Kl atau Selangor tu, kena tunggu hari aku ke KL. Tapi kalau yang duduk di luar sana nak tempah untuk orang-orang dekat sini, dialu-alukan. Sesekali ubahlah selera. Dah jemu makan kek chiffon or sponge. Kita tukar dari blueberi kepada Opera Cake. Kek klasik yang memukau anda pada gigitan pertama. Order, jangan tak order. Nanti kempunan...

[quote]
rinnchan - haiya, nyonya... mesti bikin loo

mamazieza - pentas opera akan jadi pentas inul, mama... bila digoyang-goyang... tahu apa jadi?

zaitgha zaitgha@gmail.com - [Link]- nasib baik ada yang berkenan...

anna - [Link]- tepislah angin M itu dari hidupmu, jangan dibiar menjadi badai, menjadi taufan

Ana - [Link]- bisa, mbak... tapi siap sedia ya untuk mengucap panjang melihat pentas inul kita

ct - [Link]- hanya akak yang tahu camana menggigil buat kerja dalam hamabatan waktu

Ah Mat Gebu - [Link]- tq, mat... nanti akak ambik...

am am_1681@yahoo.com - terima kasih, am. adoi, banyaknya bahasa singkatan yang kau gunakankan setiap kali beri komen. kalau sms, bolehlah diterima kerana alasan jimat prepaid. tapi kalau guna internet ni, janganlah guna singkatan banyak sangat. hancur jadinya bahasa kita. jangan marah ya...

zanaz - [Link]- zanaz, rezepi ada dalam entry terdahulu. akak belum buat link resepi tu. kena rayaula halaman ke halaman

farahfazi farahfazi@yahoo.com- insyaAllah, akan ada harinya...

aishah@ummiaqil - [Link] ke mana kau hilang, aishah...






Wednesday, 30-Jan-2008 01:39 Email | Share | | Bookmark
KE KL DARI TANAH MERAH;KEMENANGAN 'EPISOD CINTA DI TANAH HIJRAH'

"Kak Zati dah tukar bidang ke?" "Dah tak menulis? Kenapa?" "Janganlah berhenti menulis, kak. Saya rindu karya-karya akak." Inilah antara pertanyaan-pertanyaan daripada peminat-peminat novelku yang kuterima lewat sms, email mahupun pada jejak yang ditinggalkan di fp ini.
Aku berterima kasih kepada semua pembaca karyaku. Ada beberapa hal yang mahu kujelaskan. Aku masih menulis tetapi banyak dalam bentuk skrip drama radio. Masih juga menulis novel dan cerpen tetapi sebagai seorang yang sudah ada khalayak pembaca, aku tidak mahu menulis sambil lewa. Tidak mahu menulis dengan banyak tetapi ceritanya klise, balik-balik itu juga yang dipaparkan kepada pembaca. Aku tidak mahu yang sebegitu. Bukan sedikit aku mendengar keluhan pembaca. Mengeluh apabila karya penulis kesayangan mereka, asyik-asyik itu juga. "Eh! Cerita dia ni lebih kurang samalah dengan novel dulu. Dia pusing sikit je." Itu antara rungutan pembaca. Nah! Itulah yang mahu aku elakkan. Aku mahu tampil dengan cerita yang lebih hebat. Perasaan ingin tampil dengan cerita yang lebih hebat ini kadang-kadang menimbulkan ragu dalam kalbu. Ada mainan pertanyaan yang datang - eh! mutu cerita yang aku tulis ni lebih rendah atau tinggi dari dulu? Ragu ini membuat aku tercenung seketika, terhenti sementara menyusun aksara menjadi cerita. Aku mungkin tidak sehebat penulis-penulis arus perdana yang lain. Tetapi aku mesti menjadikan diriku hebat. Aku mesti berusaha menguasai dua audien - audien yang mahu rileks dan audien yang mahu berfikir. Aku tahu ia sulit, tetapi aku harus mencuba.



Semalam, 29 januari 2008, aku menerima hadiah penghargaan Sayembara Menulis Novel 50 tahun Merdeka, membawa pulang wang tunai RM10,000.00. Tiada kemenangan untuk tempat pertama dan kedua atas alasan aras penilaian. Kalau ada, mungkin kedudukanku bukan di tempat penghargaan. Apapun, alhamdulillah, aku bersyukur atas rezeki yang Allah berikan.Ini adalah percubaan pertamaku menyertai sayembara novel. Satu peningkatan kukira.Apalagi novel ini mengangkat tema merebut dan mengisi kemerdekaan, tetapi seperti biasa aku memilih gaya bahasa yang mudah supaya aku dapat terus memancing khalayak remaja dan pembaca yang tidak mahu serabut kepala. Lihat gambar - tersenyum aku kerana diusik Pak Menteri tentang judul Episod Cinta di Tanah Hijrah, "Kenapa orang perempuan suka tulis fasal cinta ya?" Aku menjawab, "cinta itu luas maknanya." Kata Dato' Firdaus, Pengarah DBP, "Dia deklamator yang bagus. Bla bla bla...."
Apakah pengisian episod cinta? Apakah pula makna Tanah Hijrah? Nak tahu kenalah baca untuk memahami makna cinta yang kental di dalam perjuangan merebut dan mengisi kemerdekaan di samping menikmati renjisan cinta insani. Proses kreatif Episod Cinta di Tanah Hijrah akan aku tulis di entry akan datang.

Aku bukan menukar bidang. Bukan meninggalkan dunia penulisan untuk bermesra dengan kek dan aising. Aku menambah bidang kemahiran untuk tampil hebat di mata anak-anak. Menulis tidak sesekali akan kutinggalkan. Bakat adalah anugerah Allah. Aku bertanggung jawab mensyukuri anugerahnya. Cara untuk bersyukur? Cara untuk memanfaatkan amanah Allah? Aku mesti terus menulis. InsyaAllah.

Untuk hadir ke KL menerima hadiah ini, aku melalui perjalanan jauh. Dalam keadaan tergesa-gesa, kami bertolak ke Kota Bharu. 'Alim pulang dari asrama SMK Seri Rompin, hanya sempat bermesra dengannya dua tiga jam. Sempat aku buatkan 3 loyang brownies, setiap satunya untuk 'alim, qayyum dan amsyar. Juga buat simple chocolate moist untuk tempahan Nor di Kuala Berang, Terengganu, tempahan tauke Ellieze De Heart - tauke kek cawan, untuk ummict dan untuk dibawa ke rumah amma. Lee Dya Akiki yang kami panggil Lila, anak abang iparku penggemar moist chocolate kek. Alahai, tersilap loyang pula. Loyang terlalu besar, muatannya sedikit. Aku terpaksa potong dan lapiskan menjadi tinggi. Hanya sebiji ini sempat dibuatkan untuk ke rumah amma. Kata hubby, "tak apa, nanti balik raya Gong Xi, boleh bawa lebih." Inilah rupanya....macam loaf roti pula.



Tidur semalaman di rumah amma. Jam lapan pagi kami bergerak ke Tanah Merah setelah perut diisi dengan nasi berlaukkan gulai itik serati, paprik belut dan ayam kampung goreng kunyit. Banyak cerita juga kerja pendaftaran Amsyar di SM Teknik Tanah Merah itu. SMT Tanah Merah adalah sekolah Teknik yang terbesar di Malaysia dan menawarkan hampir keseluruhan kursus teknikal dan vokasional. Kawasan sekolahnya luas. Berjalan di dalam kawasannya seperti berjalan di dalam kawasan kolej. Berhampiran dengan asrama, ada tasik buatan. S.F. Azzahra mengusik, "Kalau tension, jangan terjun tasik pula." Gelak kami terburai.
Hanya dua orang lelaki di dalam jurusan bakeri. Di Semenanjung, hanya dua sekolah teknik menawarkan kursus bakeri. Kata Amsyar, "angah akan jadi lelaki macho di kelas ni." Aku menyindir, "Kecilkan badan dulu, barulah macho." Dia membalas, "Kalau kecil, orang tak nampak pula." Alhamdulillah, rezeki Amsyar ke SMT. Di SMKPJ tempat dia menumpang sementara menunggu keputusan ke SMT, dia mohon ditempatkan dalam jurusan sains rumahtangga. Sebelum berpisah sempat kupujuk dia bergambar. Alahai, anak yang ini bukan mudah hendak diambil gambarnya. Kena pujuk-pujuk dulu...





Selesai menguruskan hal Amsyar, kira-kira jam 2 selesai menunaikan solat jamak kami bertolak ke Kuala Lumpur melalui Gua Musang. Waktu inilah baru memikirkan tentang kek tempahan tauke kek cawan, Ely si cantik manis itu dan kek untuk ummict yang tak kukenali. Ely mulanya mahukan dihias dengan strawberry tetapi strawberry payah sekali di Pekan. Di Kuantan pun jarang-jarang ada. Ely minta dilukis ultraman. Hati ini risau juga sebenarnya, takut rasa kek berubah, takut rupanya berubah dek kerana perjalanan jauh. Hendak dilukis, aku tertinggal piping jelly. Mahu tak mahu, suruh adik belikan strawberry. Maka kerja melengkapkan kek tempahan Ely dan Ummict dibuat di rumah adik di Damansara Damai.






Selesai kek itu, aku dengan 'susah payah' masak 4 kg pulut kuning, mihun goreng, rendang ayam, jely dan carrot cake. Kenapa 'susah payah"? Kerana adikku itu keluarganya kecil, hanya ada seorang anak, maka tiadalah bekas-bekas besar, tiadalah periuk belanga besar, tiadalah kuali dan pengukus besar. Dengan pengukus yang paling 'cute', kerja mengukus jadi renyah amat. Goreng bihun dan masak rendang pun jadi renyah. Niat nak buat suprise cake untuk Qayyum terpaksa dibatalkan kerana tiada peralatan. Kalau tidak kerana perjalanan jauh, pasti segalanya kumasak dari Pekan terus kubawa ke KL.

Lebih sebulan tidak bertemu Qayyum, badannya yang gempal itu susut sedikit. Aku menarik nafas lega kerana ia jauh dari fikiranku selama ini yang membayangkan dia bertambah bulat. Aku tidak mahu dia gemuk. Kata adikku, "Kesian Qayyum pergi kelas Bahasa Inggeris di UIA tu. Jauh dari Bukit Bintang. Nak masuk ke UIA tu jauh. Kalau ada motor, lainlah."

Biar dia rasa susah - kataku. Kalau dia nak ambil lesen motor, pandai-pandailah kumpul duit sendiri. Duit umi untuk hantar kursus demi kursus. Lagipun aku tidak mahu dia segera ada lesen. Biarlah dia ke sana ke sini dengan LRT daripada bermotor, untuk waktu ini.

Kami meraikan harijadi Qayyum di rumah penginapan staff izzi great italian & asean cruisine. Di tingkat dua - oo, aku boleh kurus kerana turun naik tangganya. Dari ruang tamu ke kamar tidur hingga ke dapur, segalanya bersih terurus. Teman-teman serumah Qayyum - warga Indonesia yang telah lama bekerja di cawangan Izzi di Indonesia dan kini dihantar bertugas di Malaysia. Izzi bermula di Indonesia, membuka cawangan demi cawangan sebelum melebarkan sayap bisnes ke Malaysia. Semuanya ramah, hidup bagai satu keluarga yang mesra. Aku menyukai mereka semua. Meski baru kali pertama bertemu, ada gurau senda dan gelak tawa. Mereka membuang segala keraguanku. Dipelawa kami tidur di situ tetapi kami tidak membuat persediaan. Datang hanya membawa makanan. "Jangan pulang lagi. Tunggu housemate kita, dalam perjalanan dari airport ke sini. Nanti boleh rasa ole-ole dari Jakarta. Jengkot. Ibu pernah makan jengkot?"
Jengkot? Apa tu? Rupa-rupanya jering yang telah dimasak dibuat rendang. Aku teringin mencubanya tetapi Taqiuddin sudah mengantuk benar, merengek mengajak pulang.
Keluarga baru Qayyum ini menghantar kami hingga kami masuk ke perut kereta. Aku berdoa agar segalanya baik dan di dalam lindungan Allah Yang Maha Pengasih. Selain kenangan indah bersama mereka, aku turut mebawa pulang cenderahati-cenderahati promosi stesen tv dan produk yang selalu membuat penggambaran di Izzi.





Pulang dari rumah penginapan Qayyum, bakar kek lagi untuk teman di DBP. Disebabkan tiada peralatan hendak menghias, lebihan strawberry jadi penyelamat. Ada juga buat simple chocolate moist dihias dengan coklat parut dan hirisan strawberry tetapi terlupa pula merakamkan fotonya.



Bertolak keluar dari Damansara Damai jam 7.45 malam, berhenti makan di Plaza Rehat di Temerloh. Perjalanan jadi begitu lambat kerana hujan lebat. Tiba Pekan jam 1 pagi. Adduh! Capek banget sih!

[quote]jom sembang...

1.Ana - [Link]- aku nak pi penang. hang belanja aku nasi kandar tapi tak mau mamak punya

2.Bonda RaqynRafiqin - [Link] terimakasih, rezeki dari Allah, balasan atas usaha.

3. yaa yaa_alan@yahoo.com - [Link]- duit nak buat apa? himpun, untuk belajar anak-anak.

4.zaitgha zaitgha@gmail.com - [Link]- beginilah naluri ibu, zai...

5.rinnchan - [Link]- menjeling menjeling hai bertentang, mata kita saling memandang tapi mata kita tak sempat saling memandang lagi , rynn

6.boxhousestudio boxhousestudio@gmail.com - [Link]- alhamdulillah, kak..Allah memberi ganjarabn atas sekian kesabaranku

7.mamazieza - mamaaaa... muahahahaha....

8.am_1681@yahoo.com - bila buku terbit, akak beritahu. kau kena beli satu, tanda menyokong akak

9. Hajar - [Link]- tq, jar. semoga akak semakin gigih, tidak riak, tidak takbur...

10. Along 2929 - terima kasih.... siapa dia along ni ek?

11. aishah - [Link]- aishah, hidup tanpa azam ibarat pelita tanpa sumbu tanpa minyak...

11.zairieza - [Link]- tq, sayang..

12. fadzilsalleh fadzilsalleh@yahoo.com - [Link]- insyaAllah, semoga Allah melebar dan meluaskan rezeki kita semua untuk membina hidup insan-insan tersayang

13. MaDiHa - [Link]- terimakasih, madiha. sulit untuk menyempurnakan segala. Allah tidak memberi semua unbtuk kita. kita perlu mencarinya

14. chepah chepah75@yahoo.com - [Link]- insyaAllah, chepah...terima kasih

15.ummizaihadi@yahoo.com.my - [Link]- saya pun teringin jumpa ummi tapi alahai, sibuk betul kat bakery dan pc

16.ha/chendana ayu_cendana@yahoo.com - [Link]- mari kita berdoa untuk rezeki kita demi membesarkan anak-anak, ha...


17. mamasya mamasya22@yahoo.com - [Link]- struggle untuk segalanya

18. lynnhassan - macamana nak tumpang kat umah lynn, dah tahu lynn sibuk. akak suruh adik beli strawbery di dck mart di selayang... ok juga buahnya dan tak masam


19. soulha,cairo - [Link]- terimakasih soulha...

20. lavender2905@yahoo.com - alamat emel dan ym ada kat header fp ini. akak pun dulu belajar menjahit, sempat gak ambil upah jahit baju. seklarang ni baju ku ready made aje...


21. wiz - [Link]- dengan segala doamu, wiz, insyaAllah kita akan sam2 menempa jaya

22.aishah@ummiaqil - [Link]- doa untukmu juga aishah..

23. Ah Mat Gebu - [Link]- toce, toce, mat....







Thursday, 24-Jan-2008 09:17 Email | Share | | Bookmark
SUKARNYA BERBAHAGI KASIH

Kuasa Tuhan penuh dengan keajaiban. Dunia pula penuh dengan keanehan. Kita dijadikan dengan sifat yang berbeza, pendapat yang tid ak serupaselain fizikal yang tidak sama. Terlalu banyak perbezaan pendapat tentang itu dan ini, sana dan sini. Bukan sekali dua kita rasa kita saja yang betul, apa yang kita buat betul, orang lain salah orang lain tak betul. Kita memang dijadikan dengan kekurangan dan klebihan berbeza.
FP dan blog mungkin tidak sama cara peembinaannya tetapi punya matlamat yang sama. Rumah teres dengan rumah flat tidak sama caranya tetapi matlamat pembinaannya tetap sama. Apabila punya dua rumah, kedua-duanya perlu dipantau/ diupdate agar tidak berat sebelah. Aku mula terfikir - begini agaknya susahnya lelaki bila ada dua rumahh, terpaksa adil saksama berbahagi kasih. Ugh! Cinta kasih sayang itu subjektif, bukan boleh diukur ditimbang-timbang.
Kenapa membina blog? Aku membina blog kerana ingin memisahkan catatan daripada foto-foto. Biar ia bersifat jaringan kerja tanpa catatan pengalaman. Maka dengan terkial-kial, aku menukang Zati D'hati Fancylicious Cakes. Berbanyak terima kasih kepada Rinnchan yang memberi pendapat terhadap judul blog dan membuat teguran tertentu. Juga terima kasih kepada Suzana(elianas.fotopages.com), Lijas Yummy Cakes dan Raihani yang turut membuat teguran membina.
Ada seseorang yang mengunjungi blog bertanyakan ku, "Kenapa gambar yang itu tak ada dalam fotopages?"
Gambar yang dimaksudkan adalah ini...

Sebenarnya itu antara foto terawal sebelum aku membuka FP. Fini ada pada header FP ini. Si Puteri ayu dengan bunga di tangan berlenggang di taman. Taman mana? Lihat tu, ada rumput di hujung kakinya.

Di bawah ini pula...Moist Chocolate Cake tempahan seorang kakak untuk adiknya yang tidak gemarkan topping.



Ini pula... kek kegemaranku...carrot walnut cake dengan frosting cream cheese. Semua hiasannya menggunakan frosting ini tanpa campuran buttercream. Sekeping plat coklat untuk menjadikan ia kelihatan menarik. Ingat pada seorang ibu yang terharu anak-anak menyambut hari lahirnya? Ya... Jamhia menempah kek ini untuk anak dan suaminya.




Catatn kali ini tidak panjang klerana aku perlu menguruskan keperluan Angah untuk ke sekolah Menengah Teknik, Tanah Merah jurusan bakeri. Alhamdulillah, terkabul juga hajatnya hendak belajar dalam jurusan ini.
Teman-teman pengunjung, senang-senang jengahlah rumah baru yang masih berterabur: http://zatidhati.blogspot.com. Aku tahu sukar berbahagi kasih tetapi FP ini ibarat isteri pertama yang banyak berjasa. Aku akan menjaga kedua-keduanya. InsyaAllah.


[<<  <  6  7  8  9  10  11  12  [13]  14  15  16  17  18  19  20  >  >>]    [Archive]

© Pidgin Technologies Ltd. 2016

ns4008464.ip-198-27-69.net