Zati D'hati Fancylicious Cakes

By: amaruszati noor rahim

[Recommend this Fotopage] | [Share this Fotopage]
[<<  <  5  6  7  8  9  10  11  [12]  13  14  15  16  17  18  19  >  >>]    [Archive]
Thursday, 6-Mar-2008 18:05 Email | Share | | Bookmark
Nilai sebiji kek dalam sebuah rumah usang & senget

Entah mengapa ketika melihat foto-foto untuk entry kali ini, hati dicuit sayu tiba-tiba. Zaman kecilku sehinggalah remaja, tidak pernah harilahirku diraikan. Tetapi di hati tidak pernah terdetik untuk meminta emak ayah membuat majlis harijadiku, meskipun untuk sepotong kek. Ada rasa teringin meniup lilin apabila mendengar teman-teman menceritakan meriah harijadi mereka, namun tidak pernah terlucut di mulut. Barangkali kerana aku memahami keadaan orang tuaku. Kesusahan kami membuatkan aku bukan peminta-minta. Dapat makan lempeng batak cicah susu pekat atau kuah singgang, lempeng sagu atau lempeng kepala, sudah cukup bersyukur. Subuh hari ke kebun getah bersama mak dan ayah, mengutip susu getah, mencari jering relung dan berkebun sayur, sesekali menangkap ikan sembilang dan belalang, bermain batu seremban dan galah panjang - jadual harianku menjadi padat sehingga tidak sempat untuk memikirkan kemewahan orang lain. Cerita teman-teman dapat berkelah di hujung minggu dan menyambut harilahir dengan lagu happy birthday to you hanya terbang begitu saja, seperti angin lalu tidak sempat kutahu ke mana ia menuju. Waktu yang terus berlari, emak dan ayah sengit berjuang memperbaiki hidup kami, sehingga pondok kecil tak berbilik dengan lantai buluh dan atap nipah bertukar menjadi agak besar dengan dua kamar, ruang tamu, dapur basah dan dapur kering. Perjuangan orang tuaku merngubah tahap hidup berhasil sehingga emak mendirikan rumah kayu cengal dengan 5 kamar, ruang tamu atas dan bawah, dapur kering dan basah di belakang dan tepi rumah. Dalam waktu perjuangan itu juga, tidak terfikir untuk menyambut harilahir kerana waktu demi waktu kuiisi dengan membantu emak di rumah, bersambung ke kedai makan, kemudian kembali memasak di rumah. Terbiasa dengan tidak boleh duduk saja-saja, kerja kreativiti bagiku adalah rehat. Bukan tidur bersantai atau duduk bertangga di rumah orang. Menjahit, mengait, menekat, cross-stitch-antara 'kerja rehatku'. Kini semua kreativiti itu kutinggalkan kerana aku perlu ruang untuk menulis, mengurus kek, suami, anak, rumah.
Barangkali kerana pernah melalui zaman 'keinginan tak terucap', hati ini menjadi simpati pada orang-orang yang sukar, khasnya ibu-ibu yang ditinggalkan suami, sama ada dicerai hidup atau mati atau digantung tak bertali yang ingin membesarkan hati anak-anak pada hari lahir mereka. Pernah seorang ibu tunggal datang bertemu hubby, dalam malu, resah dan serbasalah bertanya sudikah membuat kek harijadi untuk anaknya. Aku menelan liur pekat, termangu dan sayu. Seorang ibu yang bekerja pagi ke petang dengan gaji beberapa sen cuma, menanggar anak-anak seorang diri kerana suami entah ke mana, masih ingin membesarkan hati anak-anak. Aku berfikir tentang wang dari tangannya untuk meraikan hari jadi anak mungkin perlu untuk belanja anak ke sekolah, makan minum harian, yuran, buku sekolah. Apakah kerana sebiji kek kecil, maka anak-anaknya terpaksa bercatu belanja atau langsung tidak berbelanja ke sekolah. Hati kecilku teramat sayu. Lama aku termangu di jendela, merenung jauh pada tanah nenek di belakang rumah yang dulunya semak belukar tempat kuredah pada zaman anak-anakku. Jauh aku diseret kenangan lalu.Aku menyelami jiwa ibu tunggal itu sedalamnya. Untuk membuat anak-anak girang, hatinya turut bergalau bimbang. Aku membayangkan sebiji kek harijadi yang dibeli ibu tunggal itu akan membuatkan anak-anaknya ketawa seisi rumah tetapi hari-hari sementara menunggu gaji, barangkali anak-anak itu akan murung ke sekolah kerana saku tak berisi. Alangkah baiknya andai sebiji kek dapat membuat anak-anak itu riang tanpa perlu bermuram durja sementara ibunya mendapat gaji lagi. Dapatkah anda bayangkan di sebuah rumah yang telah senget bertangga usang, ada anak-anak riang menikmati sepotong kek, ibu memandang anak-anak dengan senyum di bibir tetapi hatinya....
Dalam urusniaga, aku tidak bersandarkan untung semata. Hidup perlu bersandarkan keinsanan. Urusniaga adalah satu elemen dalam hidup. Dengan orang-orang yang serba ada, aku mengharapkan untung. Tetapi dengan orang-orang yang susah, inilah waktu untuk menjadi 'tangan yang di atas'. Nasib anak-anak jiranku yang sedang mengusahakan ternakan keli mungkin lebih baik dari anak-anak ibu tunggal tadi kerana mereka punya ayah, punya ibu, punya rumah batu yang utuh di tanah sendiri dan ada wang pampasan kerana diberhentikan kerja ekoran kilang ditutup. Tetapi anak-anak ibu tunggal itu, ke mana ayahnya menghilang, meninggalkan mereka dengan kudrat rezeki dari tangan seorang ibu, berlindung di dalam sebuah rumah yang senget, barangkali menanti roboh. Aku menangis ketika menulis entry ini. Ada doa tulusku untuk ibu tunggal itu dan masa depan anak-anaknya. Simpati kita kadang-kadang melimpah tetapi kita tidak dapat menghulur banyak. Sebiji kek itu mungkin tidak senilai dengan huluran ribuan ringgit tapi ia mampu mengubat jiwa anak-anak. Produk yang tidak memerlukan banyak kerja, contohnya hanya hiasan wafer atau coklat moist dengan siraman topping coklat serta layangan ringan tulisan happy birthday to you mampu membuat senyum anak-anak itu berbunga meskipun tanpa ayah.
Pada ketika aku memberitahu hubby ingin menaja birthday kek setiap bulan untuk sebuah rumah anak yatim, hubby mengangguk dengan ayat tambahan, "ok juga tapi rumah anak yatim ramai yang sponsor. Tapi orang-orang sukar seperti ibu tunggal tu tak ramai yang tahu susahnya."
Sahabat-sahabatku, entry ini kutulis bukan untuk menunjuk baik. Allah pernah berfirman yang antaranya bermaksud tidak salah kita memberitahu kebaikan yang kita buat dengan tujuan bukan untuk menunjuk-nunjuk, sebaliknya mengajak orang lain berfikir dan ikut melakukannya.
Aku berterima kasih pada hubby dan anak-anak kerana ikut sama memahami getir orang lain. sahabat-sahabatku, senang kita hari ini, mungkin tidak esok hari. Mudah-mudahan dengan kebaikan-kebaikan (jika boleh dikatakan kebaikan) yang kita lakukan, Allah akan memberi kelapangan. Jika tidak di dunia ini, barangkali di akhirat nanti. InsyaAllah. Kita tidak boleh menjadi kita sentiasa. Kita perlu meletakkan diri di tempat orang lain, menghayati dan memahami resah dan susahnya.

Foto di bawah, aku tidak mampu menulis ayat seterusnya kerana masih terbawa-bawa dengan emosi sayuku. Jamu mata. Ampun maaf.







(tengok ni... dah berapa kali cuba kecilkan gambar ke saiz message board tapi tak dapat. teman-teman, photobucket pakai format baru ke? pening pula tengok ada editing seribu macam. sapa boleh tolong aku... macam mana cara nak kecilkan gambar macam entry yang dulu-dulu? hu hu hu besar gedabak gambar ni...


Monday, 3-Mar-2008 14:34 Email | Share | | Bookmark
order dari ina saly

Demam pilihanraya begitu terasa hingga aku menjadi mabuk bendera. Hari ini, pergi ke Kuantan terpaksa mengajak hubby pergi sekali. aku jadi sakit kepala, pusing mata melihat bendera di kiri kanan jalan. Penuh sehingga tidak nampak jambatan. Nak jadi cerita, minggu lepas kami ke Kemaman menghantar kek. Rumah pelanggan itu telah kerap kami pergi tetapi hari itu kami tersesat kerana tidak bertemu simpang ke rumahnya. apa tidaknya.... papan tanda telah ditutupi dengan kibaran bendera parti-parti yang bertanding. Hari ini sepanjang jalan ke Kuantan, aku pejam mata, tidak mahu pandang kiri kanan. Kalau buka mata, tekak jadi semacam, kepala berpinar melihat warna hijau dan biru saling cuba menguasai kiri kanan jalan.

Ina Saly, barangkali pengunjung senyap fpku. Dia membuat order untuk harijadi anaknya. Sebiji kek opera dan sebiji lagi, rich moist choc.
Agak tercabar kerana Ina Saly mahukan kek opera dijadikan gelanggang bolasepak, bukan lagi pentas opera untuk pementasan teater! Sanggup saja walaupun memikirkan risikonya besar kerana opera hanya sesuai digandingkan dengan whipping cream. Andai digandingkan dengan buttercream rasanya tidak cukup bangkit. Pengalaman menghantar opera kek ke Kuala Lumpur yang diletak di tempat duduk belakang kerana bersandarkan udara penghawa dingin, bukan di dalam bonet memberi keyakinan kepadaku opera Ina Saly akan selamat sampai ke Nilai. Padang bola itu kuberi sentuhan sedikit saja rumput rampai di atasnya tetapi kubiarkan rumput rampai di atas lebihan kadbod yang terdedah. Tidak ada garisan padang kerana dalam fikiran seperti terbayang garis putih akan bersatu dengan hijau.
Rich Moist Choc ditata dengan strawberry shortcake. Untuk pertama kalinya, aku tidak melepa buttercream di atas topping choc. Outline choc melekat di atas topping choc dan...warnakan saja.
Melalui jalan yang sedang dalam pembinaan lebuhraya, lekang lekuk di sana sini memaksa aku menjadi pemandu berhemah dengan 40-60km sejam. Mengantuk bukan main memandu terlalu berhemah. Ketika aku sms Ina Saly bertanyakan khabar kek, dia menjawab, "belum sampai Nilai, singgah Temerloh. " Duh! Apa cerita kek opera tu nanti? Berdebar juga dada. Lewat petang rasa-rasanya Ina Saly sms, padang bola berlubang (jadi padang golf ke?- tanyaku). Pemain gelongsor dan plat coklat tulisan patah. Belajar dari pengalaman, lain kali tak perlu letakkan aksesori itu dulu. Biar customer letak sendiri seandainya melalui perjalanan jauh.
Ina Saly memperbaiki mana-mana bahagian yang rosak. Lubang-lubang golf ditutup kembali menjadikannya padang bola. Kata Ina Saly, padang itu telah diberi garisan putih oleh suaminya. Rupa-rupanya Ina Saly ni memang berminat dengan dunia deko, sedang berjinak-jinak, sudah ada gurunya juga. Kami sempat bergambar hari tu, di bawah terik mentari di depan kedai baiki kereta di Kuantan tempat kami bertemu. Ina Saly manis hari itu tetapi wajahku lesu kerana tidak tidur semalaman ditambah pula mengantuk menjadi pemandu berhemah. Yuk...lihatlah.... ini pentas opera yang dijadikan padang bola (akhirnya menjadi mangsa goyangan Inul dalam perjalanan jauh).



Di bawah ini pula... kek yang memenuhi impian Batrieshia... inginkan kek strawberry shortcake...



Dan di bawah ini...Si Manis Ina Saly bersama putera puteri penyeri hidupnya.



Mulanya kufikir Ina Saly menetap di Nilai. Rupa-rupanya di Penang. Barangkali di Nilai hanyalah keluarga mentuanya.
Selamat ulang tahun kelahiran untuk Ammar Muqri dan Batrieshia. Semoga menjadi anak soleh dan solehah, memberi kelapangan kepada orang tua, menjadi cemerlang di dunia dan di akhirat. Amin.


Wednesday, 27-Feb-2008 18:39 Email | Share | | Bookmark

Kesibukan yang bertali arus begitu terasa dengan ketiadaan tiga anak bujangku - Qayyum, amsyar dan 'Alim. Meskipun hubby masih membantu, Azzahra dan Taqiuddin beransur-ansur mengambil alih tugasan abang-abangnya, namun ketiadaan tenaga remaja cukup terasa. Urusan rumah dan bisnes yang selama ini tidak pernah dibantu pembantu rumah, ditanggar oleh anak-anak. Kadang-kadang terpacul rungutan penat, aku pantas menjawab - bukan seperti umi kecil-kecil dulu menimba air perigi hingga penuh tempayan, membelah kayu api dengan kudrat kecil, menyodok batang getah sebelum emak membuka kedai makan, memasak lauk pauk yang banyak membantu emak berjualan. Deretan tanggungjawab waktu kukecil yang kukongsi dengan anak-anak ini menyebabkan mereka akur, "yalah, yalah."
Kesibukan tanpa bantuan tenaga remaja tidak memberi peluang untuk edit entry setiap hari seperti dulu. Sapaan teman-teman yang meninggalkan jejak tidak sempat kubalas, tetapi ketahuilah teman-teman, hatiku berbunga menerima kunjungan anda semua. Emel kalian yang tidak terbalas, sms yang seadanya - maafkanlah. entry kali ini kumasukkan ketika aku memilih rehat setengah jam setelah berpuluh tenaga dan idea menyudahkan skrip drama radio tiga episod.

Rakaman kali ini, tempahan dari seorang staff pejabat KDYMM Sultan Pahang, Kak Pah. "Anak-anak ingin meraikan birthday akinya." Orang tua-tua gemarkan tekstur kek yang sederhana mampat kerana mereka gemar mencicah dengan air kopi atau teh o. Dari pengamatanku juga, orang tua kurang gemar pada kek butter yang menggunakan tepung berserbuk penaik. Mereka lebih memilih rasa gandum yang asli. Kak Pah teragak-agak memilih antara pandan dan vanila. Untuk memberi dia merasai kedua-dua perisa ini, maka kek ini aku marblekan. Frosting dengan BC perisa pandan coconut. Designnya simple. Seperti biasa, aku tidak mahu designnya sama seperti kedai-kedai kek lain.



Tempahan di bawah ini untuk Yang Mulia Tengku Besar Pahang, daripada anak-anaknya. Dengan sedikit sentuhan gold. Hari yang baik ketika membuat kek ini. Topping coklat mengental tidak sampai setengah jam. Alhamdulillah, mudah untuk kubentuk kuntuman ros.
Tentu saja aku berharap Yang Mulia Tengku Besar menyenangi kek ini.



Kek pink ini, kek hantaran pertunangan dalam casing diikat renda berlapis. Azzahra terjerit kerana sukakan warnanya. "Wah!"



Sehari selepas menikmati kek carrot dengan cream cheese frosting. boss lembaga muzium negeri pahang, farid menelefon membuat temnpahan kek carrot lagi.
"Sedaplah, kak. Tak cukup. Saya nak tempah satu lagi. Esok."
Aku menolak tempahan itu kerana cream cheese kehabisan stok. Tidak dijual di Pekan. Aku mendapatkkanny di Kuantan.
"Kalau mcam tu buatkan saya kek coklat moist. Tapi tak mahu badam. Saya lebih suka kacang. Rekalah resepi baru satu."
Aku menyahut cabaran . Dilayer dengan choc peanut butter , toppingnya juga dengan choc peanut. Taburan kacang panggang di atas dan di tengahnya menimbulkan kelainan.



Ketika kita susah ada orang yang derita. Ketika kita derita ada orang yang lebih sengsara. Nikmat hidup ini perlu dikongsi. Sedikit nikmat bagi kita mungkin besar untuk orang lain. Bersyukur dengan apa yang Tuhan kuniakan, maka tidak salah kita berkongsi nikmat bahagia dengan orang lain. Kilang tepat jiranku bekerja ditutup setelah bertahun-tahun hidup segan mati tak mahu. Lima anak masih perlu ditanggungnya ketia dia diberhentikan kerja. Setiap petang dia anak beranak bergotong royong mengikat bata membuat kolah untuk menternak ikan keli. Aku suka dengan semangat anak bangsa yang sebegini. Ketika satu pintu tertutup, ada sepuluh pintu yang ternganga - begitu kata bijak pandai. Carilah pintu itu jika mahu keluar dari sengsara dan murung. Ini kek yang kuhias mudah. Azzahra dan Taqiuddin membawanya ke rumah jiran untuk meraikan hadiah harijadi anak keempatnya. Terus terang, ketika kuhias badan terlalu penat. Hiasan seadanya tetapi kukira anak jiranku itu bisa tersenyum girang dengan hadiah kek simple ini. "Adik yang paling kuat menyanyi happy birthday, umi." Cerita taqiuddin. Yuk, penyudah jamu mata... kek simple dengan tatahan bunga wafer



Friday, 22-Feb-2008 04:39 Email | Share | | Bookmark
AMSYAR LAHIR, SUDIRMAN PERGI

HAPPY BIRTHDAY AMSYAR! 22 Februari 1992, tangis Muhammad Amsyar yang pertama kedengaran tanda lahirnya dia sebagai zuriat percintaan. Aku melahirkannya di rumah, disambut bidan klinik dengan sakit yang sebentar cuma. Pada hari yang sama, allahyarham Sudirman Haji Arshad, kembali ke rahmatullah.
Pagi ini, Amsyar sms - Angah di rumah ama. Subuh tadi tolong ama masak ayam masak kicap untuk jual.
Aku tersenyum. Pandai rupanya membawa diri di tempat orang. Di rumah sendiri, dia akan kembali menyambung tidur selepas solat subuh. Setelah Qayyum kerja di KL, kerja basuh pinggan mangkuk sepenuhnya ditangani Amsyar. Jika Qayyum ada, mereka bergilir. Cuci tandas, buang sampah juga kerja Amsyar. Rumah sentiasa bising dengan aduan adik-adik kerana sikapnya yang suka mengusik. Kini rumah terasa sunyi. Apabila malam-malam turun ke dapur, berpapasan dengan bilik tidurnya, terasa sungguh dia tiada kerana tiada lagi bunyi kipas berpusing, tiada lagi dengkurnya. Ada kerja rutinnya diambil alih oleh S.F. Azzahra, ada juga diambil alih Taqiuddin.
Aku menelefon amsyar beberapa kali tetapi tidak berjawab. Agaknya sambung tidur setelah tolong ama memasak dan menjual. Kutaip kalimat selamat harilahir dan harapan umi. Lama kemudian baru sms berjawab, "Terima kasih umi, angah hampir terlupa birthday angah." agh, amsyar...kalaulah dia ada di sisi, pasti awal-awal pagi lagi kuudap selamat harilahir sambil mendoakan hari-harinya serta mengucup pipi dan keningnya.
Sf Azzahra terlebih dulu menyelak kalendar memeriksa harijadi si polan si polan jatuh pada hari apa, bolehkah disambut bersama? Disebabkan harijadi Amsyar jatuh pada hari persekolahan, maka harijadinya disambut awal ketika dia pulang minggu dulu. Ada beberapa keping gambar sambutannya kuambil, itupun setelah puas memujuk tetapi nasib agaknya lebih berpihak kepada Amsyar yang kurang suka bergambar. Gambar-gambar itu entah macam mana boleh hilang dari file dan tidak dapat disisipkan di sini. Aku sms Amsyar, "angah pakai jampi apa? Semua gambar birthday hari tu hilang." Dia membalas, "alhamdulillah...syukur...he he he...my pic lost." Hem... anak bertuah. Hem, nanti petang apabila anak-anak lain pulang dari sekolah, agenda pertama adalah berhimpun di sisi gagang telefon untuk menyanyikan lagu ulangtahun kelahiran untuk Amsyar.
Pada harijadinya, aku masakkan nasi pandan dengan gulai kambing dan ayam goreng rempah beserta jelatah timun. Kek yang dibuat untuknya - chocolate banana. majlis sambutan harijadi Amsyar dibuat tergesa-gesa, tiada dalam perancangan hendak dibuat awal, maka kek untuknya masih panas ketika dicurah topping. Sebiji kek itu sempat kucuri sejuring untuk dimasukkan ke dalam chiller. Hendak juga tekak ini merasa - mana lebih sedap - dimakan panas-panas atau disimpan chiller? Kedua-duanya enak cuma mudah muak jika dimakan ketika panas. Ini dia anak teruna keduaku dengan senyuman malu dan... inilah chocolate banana yang pertama kali kubuat pada harijadi Amsyar, kini telah jadi permintaan pelanggan.




Zaman kini, anak-anak dilambakkan dengan kerja rumah yang bertimbun. Kadang-kadang terfikir dimanakah masa rehat untuk anak-anak setelah siangnya ada ko kurikulum atau kelas fardhu ain dan letih belum terubat pada waktu malam kerana mengadap kerja rumah. Di mana seronoknya anak-anak zaman ini? Tekanan untuk menghambat peratusan pencapaian yang tinggi menyebabkan setiap sekolah berlumba-lumba menekan pelajar sehingga lupa kanak-kanak memerlukan manisnya zaman mereka.
SF Azzahra, kadang-kadang merungut kerja rumahnya nya berlambak. Penat atau tidak, kerja rumah mesti disiapkan. Minatnya pada dunia bakery dan masakan menyebabkan penatnya hilang apabila diberi peluang mendeko. Pada usia yang masih mentah, aku hanya memberikan kerja mudah ini sebagai latihan untuknya. Itupun kerana cupcakes ini untuk majlis kesyukuran yang aku buat sempena menang sayembara 50 tahun novel merdeka, juga sempena emak ayah selamat mengerjakan haji. Kalau untuk dijual, hati tidak cekak lagi melepaskan hasil kerja tangan Azzahra untuk pelanggan. Aku sibuk di dapur memasak udang, tenggiri, sayur, sotong, 20 3kor ayam dan 2 ekor kambing dibantu adik. Maka kerja menghias cupcakes kuserahkan kepada Azzahra.



Tekun SF Azzahra bekerja di ruang bakery yang belum sempurna... Di bawah ini, foto cupcakes dari tangan anak daraku. Antaranya teknik marble/mozek menggunakan piping jelly yang mudah yang diperturunkan Lynnhassan...










Ini design mudah. "Eh! macam mana azazahra buat star ni? Star Azzahra lebih cantik dari star umi la..." aku membesarkan hati SF Azzahra. Dia senyum simpul sambil mengangkat kening berkali-kali.

Demikianlah rakaman kerja tangan SF Azzahra. Kukira ia dapat melepaskan segala tekanan dengan kepuasannya dapat mendeko sesuatu yang mudah. Yang di bawah ini pula, dalam terkejar-kejar memasak juadah, tangan gatal juga hendak mendeko sedikit. Beginilah rupanya hasil tanganku dalam kesibukanku... terpaksalah aku mengakui star dari tangan Azzahra lebih elok berbanding dari tanganku



Friday, 15-Feb-2008 03:35 Email | Share | | Bookmark
GOLDEN DAY

11-13 Februari, bertugas di Kem Lake Chini Resort. Kekuatan kem - 345 pelatih. Diajak kembali menyusur khazanah sastera dan budaya bangsa. Wang bukanlah faktor utama mengambil tugas sambilan ini. Tetapi kepuasan dan kesedaran mendidik anak bangsa kembali ke akar umbi, menerapkan nilai patriotisme tanpa membezakan warna kulit, pelita bangsa dan tali kepercayaan. Kesedaran inilah yang membuat aku menelan apa saja kerenah dan cabaran. Bertukar wajah - tanggal apron untuk tiga hari, berganti dengan uniform fasilitator PPSB (Program Penghayatan Sastera & Budaya).



Kembali dari kem, teringat masih belum mengambil award dari Ah Mat Gebu. Terima kasih Mat, beribu kasih.



Ada juga hadiah dari ct menunggu..




Untuk entry kali ini... jamu mata dengan kerja tanganku pada suatu hari yang penuh dengan permintaan warna gold. Aku menjelaskan kepada pelanggan, jangan harapkan designku akan sama seperti kedai kek lain, khususnya china kerana aku mahu tampil dengan designku sendiri. Barangkali penggunaan plat coklat sebagai tapak untuk menulis kata-kata akan aku jadikan satu kemestian kepada produk sebagai satu kelainan kepada pengeluaran produk berbanding pesaing-pesaingku.



Rakaman di atas.... order daripada seorang ibu untuk anak terunanya. Bukan ini yang hendak dibuat sebenarnya. Aku ingin buat satu design yang nampak maskulin tetapi cooking coklat yang meragam itu tidak membantu pada kali ini. kelopak bunga seperti terjatuh. Duhai...



Ini adhock order yang sanggup kuterima kerana menunaikan hasrat seorang suami untuk membesarkan hati isteri pada hari ulangtahun kelahiran. Warna coklat muda menjadi warna latar, diserikan dengan bunga gold dan putih.



Rakaman di atas ini pula adalah kek pertunangan. Latar putih salju, diserikan dengan bunga gold berselang putih. Sentuhan star pada atas renda/frills.



Foto di atas ini, warna goldnya teramat menyerlah. Terhasil dari gabungan brown, golden yellow dan sedikit orange serta merah. (selalunya kugunakan lemon yellow. Warna yang habis menyebabkan aku mencuba golden yellow). Coklat kali ini meragam juga. Grrrrrr.... sabar saja la.



Foto di atas masih sebagai hantaran tunang. Sentuhan gold. Penggunaan coklat hanya sedikit kerana nasib kurang baik hari itu.

Inilah rakaman goden day. Dan selepas itu, disusuli mencuci tuala dapur yang penuh dengan warna gold.


[<<  <  5  6  7  8  9  10  11  [12]  13  14  15  16  17  18  19  >  >>]    [Archive]

© Pidgin Technologies Ltd. 2016

ns4008464.ip-198-27-69.net